Seorang lelaki di Jawa Timur, Indonesia mendakwa kerugian lebih 1.3 bilion rupiah (RM290,565) selepas terpedaya dengan seorang individu yang mengaku sebagai Imam Mahdi dan menawarkan khidmat memanjangkan usia serta tiket masuk syurga.
Suspek dikenali sebagai FF dipercayai menggunakan dakwaan berkaitan agama untuk memperdaya pengikutnya di Kabupaten Bangkalan sejak 2019 hingga 2025.
Peguam mangsa, Jailani Muhtadi berkata, anak guamnya, Halimi menyerahkan wang secara berperingkat selepas dijanjikan pelbagai keistimewaan termasuk memanjangkan umur, menebus dosa dan menjamin keselamatan ahli keluarga di akhirat.
Menurutnya, suspek turut meminta bayaran kafarah kononnya bagi menebus kesalahan dan mendapatkan tiket ke syurga.
Malah, mangsa mendakwa pernah diminta membayar tujuh juta rupiah (RM1,565) bagi menyelamatkan arwah abangnya daripada azab kubur.
Suspek juga didakwa menakut-nakutkan pengikut dengan ancaman kematian sekiranya enggan membuat bayaran.
Mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bangkalan pada 21 Oktober lalu. Setakat ini, polis sudah mengambil keterangan tiga saksi yang turut mendakwa menjadi mangsa.
Jurucakap Polis Bangkalan, Agung Intama mengesahkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti unsur penipuan atau pemerasan dalam kes berkenaan.
Sementara itu, Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bangkalan turut meneliti dakwaan ajaran yang dibawa suspek dan mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang bercanggah dengan syariat.
Bagaimanapun, polis belum mengumumkan sebarang pertuduhan terhadap FF.

EmoticonEmoticon