BATU PAHAT - Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan 5.2 kilogram methamphetamine bernilai RM434,400 di Batu Pahat dan Muar, pada Rabu.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi khas kira-kira jam 8.35 malam yang dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 6 PGA, Muar.
Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan lima bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 5.2 kilogram.
Polis turut merampas dua kenderaan, masing-masing Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan bersebelahan sebuah pasar raya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.
Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.
Shohaiami berkata, PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

EmoticonEmoticon