Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Dadah. Papar semua catatan

Selasa, 3 November 2026

2,097 warga PDRM ditahan pelbagai kesalahan sejak 2021

2,097 warga PDRM ditahan pelbagai kesalahan sejak 2021


KUALA LUMPUR - Seramai 2,097 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk dadah, samun dan rasuah dalam tempoh 2021 hingga Ogos 2026.


Jumlah itu didedahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.


Daripada keseluruhan tangkapan, seramai 1,551 individu ditahan atas kesalahan berkaitan dadah, manakala 64 lagi membabitkan kes samun. Selain itu, 482 warga PDRM ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan berkaitan rasuah.


Bagi kesalahan dadah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebanyak 357 tangkapan direkodkan pada 2021, diikuti 248 pada 2022, 245 pada 2023, 310 pada 2024 dan 256 pada 2025.


Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, seramai 135 pegawai dan anggota polis ditangkap atas kesalahan sama.


Kes samun pula merekodkan 10 tangkapan masing-masing pada 2021, 2022, 2025 serta lapan bulan pertama tahun ini. Jumlah itu meningkat kepada 11 orang pada 2023 dan 13 orang pada 2024.


Dalam perkembangan berkaitan, tangkapan oleh SPRM membabitkan warga PDRM menunjukkan 77 orang pada 2021, 86 pada 2022, 129 pada 2023, 53 pada 2024, 87 pada 2025 dan 50 orang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.


KDN memberikan maklumat itu bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, mengenai jumlah anggota polis yang ditangkap atas kesalahan dadah, samun dan rasuah sejak 2021.


Beliau turut meminta penjelasan mengenai perkembangan siasatan terhadap 12 anggota polis yang disyaki merompak kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto milik sekumpulan warga China di Country Heights, Kajang, pada 5 Februari lalu.


Mengulas perkara itu, KDN memaklumkan PDRM sudah membuka kertas siasatan dan siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Sabtu, 31 Oktober 2026

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400

Pasangan kekasih antara tiga ditahan, PGA rampas dadah bernilai RM434,400


BATU PAHAT - Pasangan kekasih antara tiga individu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang membawa kepada rampasan 5.2 kilogram methamphetamine bernilai RM434,400 di Batu Pahat dan Muar, pada Rabu.


Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan dalam operasi khas kira-kira jam 8.35 malam yang dijalankan anggota Cawangan Risik Batalion 6 PGA, Muar.


Pegawai Pemerintah Batalion 6 PGA, Superintendan Shohaiami Ismail berkata, operasi berkenaan membawa kepada rampasan lima bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 5.2 kilogram.


Polis turut merampas dua kenderaan, masing-masing Toyota Vios dan Honda Civic FD yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.


Menurutnya, operasi dijalankan di kawasan tempat letak kenderaan bersebelahan sebuah pasar raya di Batu Pahat serta Kampung Sarang Buaya Laut, Muar.


Kesemua suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk siasatan lanjut.


Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.


Shohaiami berkata, PGA akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada pihak polis.

Sabtu, 24 Oktober 2026

Polis Indonesia rampas 1.16 tan ketamin, kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan

Polis Indonesia rampas 1.16 tan ketamin, kapal tangki milik syarikat Malaysia ditahan


Pihak berkuasa Indonesia merampas 1.16 tan ketamin daripada sebuah kapal tangki yang dipintas di luar perairan Wilayah Sumatera Utara dan menahan lapan anak kapal dalam satu operasi bersepadu, kata seorang pegawai kanan polis pada Jumaat, lapor Bernama memetik Xinhua.


Ketua Polis Negara Jeneral Suyudi Ario Seto berkata, pihak berkuasa memintas kapal tangki MT Global 168 di luar perairan Tanjung Balai Asahan selepas hampir seminggu menjalankan pemantauan yang membabitkan polis, Badan Narkotik Kebangsaan, kastam dan polis marin.


Ketika berucap di Pelabuhan Bandar Deli di Medan, Suyudi berkata, pihak berkuasa mula menjejaki kapal itu pada 14 Oktober ketika ia belayar melalui perairan berhampiran Malaysia sebelum menuju ke utara Aceh dan Thailand.


Pihak penyiasat mengesan kejanggalan dalam sistem pengenalan automatik kapal itu yang memaparkan dua nama berbeza, iaitu MT Global dan Gross Dolphin, katanya.


Menurut AFP, kapal itu mengibarkan bendera Mongolia tetapi dimiliki oleh sebuah syarikat yang berpangkalan di Johor Bahru, Malaysia, kata Suyudi.


Pegawai penguat kuasa menahan tujuh anak kapal warga Indonesia dan seorang warga asing, selain merampas 58 guni yang mengandungi keseluruhan 1.16 tan ketamin, bersama peralatan komunikasi dan kapal tangki berkenaan.


Dalam pada itu, Reuters melaporkan, Suyudi turut memaklumkan pihak berkuasa di wilayah Aceh menemukan 1.2 tan syabu bernilai kira-kira 2.16 trilion rupiah (RM487.29 juta) di sebuah makmal haram. Indonesia mempunyai undang-undang dadah yang ketat.


Pada 2015, negara itu melaksanakan hukuman mati terhadap dua warga Australia yang terbabit dalam sindiket dadah "Bali Nine" kerana cuba menyeludup heroin keluar dari pulau peranginan Bali.

Dua sahabat didakwa pelbagai kesalahan, termasuk halang tugas polis

Dua sahabat didakwa pelbagai kesalahan, termasuk halang tugas polis


KUALA LUMPUR - Dua lelaki yang tular selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan awam ketika cuba melarikan diri daripada polis di Bukit Antarabangsa, di sini, didakwa di tiga mahkamah berasingan di Ampang, pada Khamis.


Kedua-dua tertuduh, pemandu peribadi Muhammad Putra Zulfaiz Zaidi, 32, dan mekanik Mohamad Danial Haiqal Kamal Arifin, 21, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan.


Mereka berdepan beberapa pertuduhan bersama, termasuk memiliki senjata berbahaya iaitu parang dan sabit di tempat awam, menghalang tugas polis serta memandu secara berbahaya menggunakan sebuah Isuzu D-Max.


Selain itu, kedua-duanya turut didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan pelbagai peralatan mencurigakan, antaranya pemotong wayar, tukul besi, tuil besi dan sepana boleh laras.


Muhammad Putra Zulfaiz turut berdepan pertuduhan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada kenderaan berkenaan serta memasukkan dadah jenis amfetamina dan metamfetamina ke dalam badan. Mohamad Danial Haiqal pula didakwa secara berasingan atas kesalahan memasukkan dadah sama ke dalam badannya.


Bagi pertuduhan menghalang tugas polis, mereka didakwa melarikan diri ketika anggota polis cuba menjalankan pemeriksaan pada 10 dan 11 Oktober lalu.


Mahkamah membenarkan Muhammad Putra Zulfaiz diikat jamin keseluruhan RM13,000, manakala Mohamad Danial Haiqal RM8,000 bagi pertuduhan di hadapan Majistret Siti Nur Ain Ariffin.


Bagaimanapun, jaminan bagi pertuduhan lain tidak dibenarkan oleh Hakim Norshila Kamarudin dan Majistret Tiong Wen Wen berikutan ketiadaan penjamin pada prosiding berkenaan.


Kesemua mahkamah menetapkan 26 November ini untuk sebutan semula.


Pada 11 Oktober lalu, polis menahan kedua-dua lelaki itu selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan awam sebelum berjaya dipintas di persimpangan Jalan Jelatek–Jalan Taman Setiawangsa.

Jumaat, 23 Oktober 2026

Rumah ibadat tidak berdaftar jadi stor, polis rampas dadah RM16.2 juta, 8 ditahan

Rumah ibadat tidak berdaftar jadi stor, polis rampas dadah RM16.2 juta, 8 ditahan


Pelbagai dadah bernilai RM16.2 juta dirampas di sebuah rumah ibadat tidak berdaftar di Klang yang dipercayai dijadikan sebagai stor. Kegiatan terbongkar susulan penahanan seorang lelaki yang bekerja secara sambilan di rumah ibadat itu.


"Setakat ini, kita percaya kes membabitkan sindiket dadah. Bagaimanapun, kami sedang mengesahkan sama ada aktiviti gangsterisme ataupun kongsi gelap turut terbabit dalam kes ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.


Menurutnya, pihaknya menahan lapan individu membabitkan enam lelaki dan dua wanita termasuk empat warga asing berusia antara 19 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


"Tiga lelaki serta seorang wanita warga asing ini dipercayai terbabit rangkaian sindiket dadah tempatan serta antarabangsa. Mereka menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini dan semakan sedang dijalankan dengan Jabatan Imigresen.


"Ada kalangan suspek warga asing ini baru masuk sehari sebelum ditangkap, ada yang beberapa hari sebelum ditangkap. Mereka dipercayai transit di KLIA sebelum keluar ke destinasi seterusnya, namun kami dapat mengesan dadah dalam bagasi mereka," katanya.


Mengulas sumber dadah, Shazeli berkata ia dipercayai dari negara jiran dan untuk edaran tempatan serta luar negara.


Katanya, semakan mendapati, hanya seorang suspek memiliki rekod membabitkan tujuh kesalahan dadah dan jenayah.


Keseluruhan, polis merampas 129 bungkusan plastik disyaki ketulan mampat bunga ganja seberat 81.3 kilogram (kg), 327 paket ketulan mampat ganja (37kg), katrij cecair ketamin (3,510 unit), ketamin (40kg), cecair ekstasi (84 botol), heroin (20.6kg) dan ketamin (25.4kg).


"Polis turut menyita harta bernilai keseluruhan RM54,835 daripada empat suspek tempatan termasuk antaranya kereta Honda Accord dan Proton Saga," katanya.

Khamis, 22 Oktober 2026

Warga Malaysia antara dua individu ditahan disyaki menjual ‘vape zombie’ di Hat Yai

Warga Malaysia antara dua individu ditahan disyaki menjual ‘vape zombie’ di Hat Yai


Polis Thailand menahan dua lelaki termasuk seorang warga Malaysia kerana disyaki menghasilkan dan menjual pod rokok elektronik (pod vape) yang dicampur etomidat, sejenis ubat bius yang dikaitkan dengan fenomena 'vape zombie'.


Tangkapan itu dilaporkan pada 20 Oktober lalu hasil siasatan bersama polis perlindungan pengguna dan Unit Polis Kawalan Sempadan 437.


Sebelum itu, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai penjualan pod vape mengandungi etomidat kepada remaja di Hat Yai dengan penghantaran dilakukan menggunakan kereta. Siasatan turut mengenal pasti sebuah rumah yang disyaki digunakan untuk menyediakan dan membungkus pod berkenaan.


Polis kemudian mengesan sebuah kereta di Jalan Rattakan di Hat Yai sebelum menahannya untuk pemeriksaan. Pemandunya yang hanya dikenali sebagai Nut, 46, didapati membawa 400 pod vape disyaki mengandungi etomidate seperti yang dilaporkan The Thaiger.


Ketika disoal siasat, Nut memberitahu polis bahawa dia diarahkan menghantar pod berkenaan kepada pelanggan oleh seorang lelaki warga Malaysia yang dikenali sebagai Sam.



Nut kemudian membawa polis ke sebuah rumah sewa di Jalan Supasarnrangsan yang dipercayai digunakan untuk menyediakan dan mengisi pod vape. Sam, 52, ditahan di rumah berkenaan.


Antara barangan yang dirampas ialah 201 pod vape kosong, 725 penutup pod, dua beg penutup mulut plastic dan enam botol cecair pekat berlabel 'ESSENTAIL OIL'.


Selain 400 pod yang dirampas dari kereta, polis merampas lebih 1,000 barangan dengan nilai keseluruhan melebihi 1 juta baht (kira-kira RM122,000).


Polis berkata, kedua-dua lelaki itu mengaku terbabit dalam aktiviti berkenaan. Mereka turut memaklumkan bahawa seorang lagi warga Malaysia membawa bahan dan bahan kimia yang digunakan untuk menyediakan pod vape itu dari luar negara.


Tugas mereka adalah menyuntik cecair mengandungi etomidat ke dalam pod vape kosong, menutupnya sebelum menghantar produk siap kepada pelanggan di lokasi yang ditetapkan.


Pihak berkuasa kini sedang mengesan pembekal dan individu yang mengarahkan penghantaran itu selain mengenal pasti pihak lain yang mungkin terbabit dalam kegiatan berkenaan.


Kedua-dua lelaki itu didakwa atas kesalahan memiliki bahan psikotropik Kategori 2 tanpa kebenaran untuk tujuan penjualan selain kesalahan berkaitan penjualan rokok elektronik secara haram.


Polis memberi amaran bahawa etomidat yang disedut melalui vape boleh menjejaskan sistem saraf pusat dengan cepat menyebabkan pengguna menjadi kekejangan, berjalan terhuyung-hayang atau pengsan.


Sesetengah pengguna juga boleh menjadi kaku dengan mata terbuka tetapi tidak menyedari keadaan sekeliling, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko kesihatan serius.

Ahad, 18 Oktober 2026

Koperal polis parah ditetak parang ketika serbuan antidadah di Tanah Merah

Koperal polis parah ditetak parang ketika serbuan antidadah di Tanah Merah


TANAH MERAH - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera parah selepas ditetak menggunakan parang oleh seorang suspek ketika operasi antidadah di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, semalam.


Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 1.35 tengah hari ketika sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menyerbu sebuah rumah di kampung berkenaan.


Menurutnya, operasi itu turut dibantu anggota dari Balai Polis Bukit Bunga dan Balai Polis Lalang Pepuyu.


"Suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an cuba melarikan diri sambil membawa sebilah parang.


"Anggota polis mengejar suspek, namun lelaki itu melibas parang sehingga mencederakan seorang anggota sebelum berjaya ditahan," katanya.


Beliau berkata, anggota berusia 37 tahun itu mengalami keretakan pada tangan kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.


Dalam operasi berkenaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 35 sentimeter, pil disyaki yaba seberat 0.1 gram serta sebotol cecair dipercayai air ketum.


Semakan mendapati suspek mempunyai enam rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.


Mohd Yusoff berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan, selain Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.


Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.