Jumaat, 6 Mac 2026

Konflik di negara Teluk: Selama mana harga minyak kita mampu bertahan?


Kerajaan bimbang konflik di negara Teluk ketika ini akan memberikan kesan jangka panjang terhadap ekonomi negara termasuk keupayaan mengawal harga minyak.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata buat masa ini kerajaan persekutuan masih berupaya mengawal harga minyak termasuk RON95 pada paras RM1.99 seliter.


Perdana Menteri berkata, penutupan Selat Hormuz oleh Iran baru-baru ini, menyebabkan lebih 200 kapal-kapal minyak dan gas serta peralatan terkandas di perairan berkenaan.


Beliau berkata, keadaan itu tentunya akan menjejaskan perniagaan dan perdagangan, selain peningkatan kos pengangkutan berikutan kapal dagang terpaksa melalui jalan yang lebih jauh.


"Setakat ini sepertimana saya umumkan kita akan cuba kawal termasuk RON95 pada kadar RM1.99.


"Keadaan ini kita pantau kerana setakat ini kita masih boleh bertahan dalam satu dua bulan, tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan," katanya selepas menunaikan solat Jumaat di di Musalla Solat Jumaat di pusat beli belah IOI City Mall hari ini.


Anwar berkata, Kerajaan MADANI mengikuti perkembangan di negara Teluk itu yang disifatkan sebagai menggusarkan Amerika Syarikat serta Israel masih terus menyerang Iran ketika ini.


Beliau berkata, tumpuan kerajaan ketika ini adalah terhadap kesannya kepada ekonomi dan geopolitik serantau.


"Kerajaan akan ambil langkah-langkah pasti segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan (dan) tidak dapat dielakkan.


"Kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat Kecil Sederhana (SMEs) dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat," katanya.


Justeru, Anwar mengesyorkan kepada semua anggota masyarakat termasuk penjawat awam, pekerja dan peniaga untuk berwaspada serta tidak memandang ringan kesan konflik berkenaan.


Beliau berkata, jika konflik berkenaan berterusan, ia akan menjadi krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.


"Saya lihat sekarang ini dalam media nampak tumpuan ini kurang ketimbang apa yang dilaporkan atau diliputi oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain.


"Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, tidak terkawal, amalan boros dan membazir minta tolong jaga daripada sekarang. Janganlah kita bila dah terhentuk, baru kita cari bantal," katanya.


Media sebelum ini melaporkan, Selat Hormuz, iaitu laluan sepanjang kira-kira 100 batu dan hanya 24 batu lebar di bahagian paling sempit, menghubungkan Teluk Parsi ke Teluk Oman, seterusnya ke Laut Arab dan Lautan Hindi.


Ia bersempadan dengan Iran di utara serta Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman di selatan. Negara-negara di seberang Teluk Parsi berhadapan Iran - termasuk UAE, Kuwait, Bahrain dan Qatar - menghasilkan sebahagian besar minyak dunia.


Namun, selat berkenaan satu-satunya laluan bagi kapal tangki yang membawa minyak mereka untuk sampai ke pasaran global, menjadikannya antara "titik sempit" (choke point) paling strategik dalam perdagangan dunia.


Sekatan di selat itu boleh melonjakkan harga minyak melebihi AS$100 setong, menurut penganalisis Goldman Sachs sebelum ini.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon