Gara-gara mahu menanggung kehidupan teman lelaki yang menganggur, seorang wanita tergamak mencuri motosikal milik ibu kandungnya sendiri sebelum menggadaikannya.
Suspek berusia 28 tahun yang dikenali sebagai YM ditahan polis di sebuah bilik rumah sewa di Jalan Kesehatan, Kelurahan Bajoe, Sabtu lalu, kira-kira jam 9.35 malam.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Taneteriattang, AKP Henri Aswan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, YU, 65, yang kehilangan motosikal berwarna kuning bernilai kira-kira 22 juta rupiah (RM5,000) di halaman rumahnya di Jalan Kolonel Pol Andi Dadi.
Siasatan mendapati motosikal itu dipercayai diambil oleh anak perempuan mangsa sendiri ketika kunci masih tertinggal pada suis kenderaan.
Menurut Henri, suspek mengakui mengambil motosikal berkenaan sebelum menggadaikannya kepada seorang lelaki di kawasan Jalan Gunung Bawakaraeng, Watampone.
Wang hasil gadaian itu digunakan untuk menampung perbelanjaan hariannya serta membiayai keperluan teman lelakinya yang masih menganggur.
Motosikal berkenaan berjaya ditemukan dan kini dijadikan bahan bukti, manakala suspek ditahan bagi membantu siasatan.
Suspek berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun jika disabitkan kesalahan mengikut Artikel 476 Kanun Jenayah Indonesia, berdasarkan Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023.


EmoticonEmoticon