Memaparkan catatan dengan label Pencuri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pencuri. Papar semua catatan

Isnin, 5 Oktober 2026

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun


Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam rangkaian kes pecah rumah secara besar-besaran di ibu negara dan 10 wilayah lain di Jepun membabitkan 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta), lapor Tokyo Reporter.


Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Tran Thanh Hai, 31, yang tidak bekerja dan tidak mempunyai kediaman tetap.


Dia dipercayai bertindak sebagai pemandu khas bagi kumpulan penjenayah yang turut dianggotai sekurang-kurangnya tiga lagi lelaki warga Vietnam.


Tran ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri susulan kejadian di sebuah kediaman di Bandar Sanjo, wilayah Niigata pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan wang tunai kira-kira 100,000 yen (kira-kira RM2,500) dilarikan.


Ketika disoal siasat, Tran mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan memberitahu bahawa dia direkrut menyertai kumpulan itu ketika berada di sebuah premis permainan pachinko.


"Saya direkrut di sebuah premis pachinko di wilayah Gunma oleh seseorang yang menawarkan 'pekerjaan memandu jarak jauh'.


"Saya memandu ke seluruh Jepun dan menerima ganjaran antara 60,000 yen (kira-kira RM1,500) hingga 100,000 yen (kira-kira RM2,500) bagi setiap perjalanan," katanya kepada pegawai penyiasat.


Polis mendapati Tran datang ke Jepun pada 2022 menerusi program latihan teknikal anjuran kerajaan, namun menetap di negara itu secara haram selepas tinggal lebih masa sejak tahun berikutnya.


Pihak berkuasa percaya kumpulan berkenaan aktif menyasarkan dan menceroboh rumah tidak berpenghuni sejak awal Jun tahun lalu.


Kumpulan itu disyaki terbabit dalam lebih 200 kes pecah rumah di Tokyo, Saitama, Chiba, Gunma, Tochigi, Ibaraki, Fukushima, Niigata, Nagano, Yamanashi dan Shizuoka.


Secara keseluruhan, siri kecurian berkenaan mengakibatkan kerugian wang tunai dan barangan berharga yang dianggarkan bernilai 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta).


Polis kini meneruskan siasatan terhadap kes jenayah lain yang mungkin dilakukan kumpulan berkenaan selain aktif mengesan rakan subahat Tran yang masih bebas.

Khamis, 1 Oktober 2026

Tipu pemandu e-hailing, penganggur dipenjara lima hari, denda RM3,000

Tipu pemandu e-hailing, penganggur dipenjara lima hari, denda RM3,000


Penganggur dijatuhi hukuman penjara lima hari dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang pemandu e-hailing dengan mengemuka resit pembayaran palsu.


Majistret A Shaarmini menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap tertuduh, B Parameswara, 26, bermula dari tarikh ditahan Isnin lalu.


Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.


Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya Mohd Firdaus Md Naim dengan secara curang mendorong mangsa mempercayai resit pembayaran yang dikemukakan adalah benar.


Perbuatan itu juga menyebabkan mangsa mempercayai bayaran sudah dibuat, sekali gus mendorong mangsa menyerahkan wang baki kepadanya.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada di sebuah hotel di Jalan Bakawali 52, Taman Johor Jaya, Johor Bahru pada 17 September lalu.


Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam, P Rajagunaseelan.

Rabu, 23 September 2026

Kekeliruan sudut rakaman CCTV punca polis difitnah konon lindung pencuri kabel

Kekeliruan sudut rakaman CCTV punca polis difitnah konon lindung pencuri kabel


Kekeliruan sudut rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menjadi punca spekulasi mengaitkan sebuah kenderaan peronda polis (MPV) dengan sindiket curi kabel di Kampung Tasek Tambahan, Ampang pada 19 September lalu.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, anggota MPV itu sedang menjalankan tugas rasmi selepas menerima maklumat, bukannya melindungi kumpulan penjenayah terbabit.


"Saya sudah membuat semakan, sebenarnya tidak ada kontroversi, anggota MPV yang membuat rondaan berkenaan melaksanakan tugasnya.


"Cuma yang saya lihat dipersoalkan apabila membabitkan sudut-sudut rakaman berkenaan seolah-olah menimbulkan kontroversi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.


Mengulas kronologi insiden itu, beliau berkata, anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima aduan berhubung aktiviti curi kabel bagi membuat pengesahan.


Katanya, anggota yang tiba di lokasi pada asalnya tidak menjangka kehadiran bilangan penjenayah yang ramai di kawasan itu.


"Walaupun beberapa suspek melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, polis berjaya memberkas seorang individu di lokasi terbabit.


"Kita sudah membuat tangkapan ke atas seorang suspek dan siasatan dijalankan. Suspek sudah dituduh di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dikenakan denda RM8,000," katanya.


Beliau berkata, operasi menjejaki dan mengesan rakan subahat suspek yang masih bebas kini sedang giat dijalankan.


"Siasatan lanjut sedang dibuat bagi memastikan kesahihan rakaman serta mengenal pasti jika wujud sebarang kelemahan semasa insiden berlaku.


"Berkongsi (video) itu tidak menjadi isu, memang pihak polis amat mengharapkan perkongsian maklumat. Cuma nasihat saya, jangan cepat buat kesimpulan awal yang belum diketahui hujung pangkal ceritanya, ini kerana ia boleh menjatuhkan fitnah," katanya.


Sebelum ini, rakaman CCTV dari sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian tular di beberapa platform media sosial, termasuk Facebook dan Threads.


Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi warganet, termasuk dakwaan kenderaan polis terbabit mengiringi kenderaan yang dipercayai membawa kabel curi.

Isnin, 21 September 2026

Kerugian RM100,000, tujuh individu geng curi kabel ditahan

Kerugian RM100,000, tujuh individu geng curi kabel ditahan


Polis membongkar kegiatan tiga kumpulan disyaki terbabit mencuri kabel utiliti dengan kerugian dianggarkan RM100,000 selepas menahan tujuh individu dalam beberapa serbuan di Temerloh dan Mentakab.


Tiga kumpulan itu dikenali sebagai Geng Mat Elektrik, Geng Nista dan Geng Sasi, manakala tujuh lagi suspek masih diburu.


Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, tangkapan dibuat pasukan task force khas antara 15 hingga 19 September lalu hasil risikan susulan kes kecurian kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM).


Beliau berkata, tujuh suspek berusia 16 hingga 40 tahun itu terdiri enam lelaki dan seorang wanita.


"Daripada tujuh yang ditangkap, tiga dipercayai terbabit secara langsung mencuri kabel manakala dua lagi membantu memproses kabel termasuk membakar dan melapah getahnya.


"Empat suspek mempunyai rekod lalu berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang daripada Geng Nista positif metamfetamin," katanya pada sidang media hari ini.


Mohd Nasyim berkata, polis turut merampas kabel dipercayai milik TNB dan TM, kabel tembaga, sebuah kereta, lori serta alat digunakan untuk membuka penutup 'manhole.'


Katanya, Geng Mat Elektrik membabitkan dua suspek, Geng Nista seorang suspek dengan empat lagi masih bebas.


"Geng Sasi membabitkan empat tangkapan dan tiga lagi sedang dikesan," katanya.


Sepanjang Jun hingga September lalu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menerima empat laporan kecurian kabel TNB dan empat kes kabel TM.


Antara lokasi terbabit Jalan Gantok menghala Bukit Cermin, Taman Seri Bukit Bendera, Taman Keramat Indah, Lanchang dan Jalan Temerloh-Jerantut.


Mohd Nasyim berkata, kabel tembaga curi dipercayai dijual kepada peniaga besi buruk pada harga sekitar RM30 sekilogram.


"Kecurian kabel bukan lagi jenayah kecil kerana ia boleh menjejaskan rangkaian internet, hospital, sekolah, perkhidmatan kecemasan dan bekalan elektrik.


"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 235(2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Khamis, 17 September 2026

Kedai emas dirompak empat lelaki di Sungai Petani, kerugian cecah RM1 juta

Kedai emas dirompak empat lelaki di Sungai Petani, kerugian cecah RM1 juta


Sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Sungai Petani mengalami kerugian kira-kira RM1 juta akibat dirompak empat lelaki, dalam kejadian lebih kurang 7.20 malam Rabu.


Suspek yang memakai topi keledar disyaki melarikan barang kemas setelah memecahkan tiga kotak pameran kaca menggunakan tukul dan objek tajam.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, berdasarkan siasatan, suspek disyaki berhenti di hadapan pasar raya, sebelum dua lelaki masuk ke dalam premis dan dua lagi menunggu di motosikal dengan jarak hanya sekitar 20 meter.


"Pada jam lebih kurang 7.20 malam, kita terima panggilan pertama daripada orang awam mengatakan ada insiden rompakan di sebuah kedai emas dalam bangunan pasar raya ini.


"Kita percaya suspek menaiki dua motosikal... nilai kerugian masih dalam siasatan awal, tetapi anggaran pemilik antara RM700,000 hingga RM1 juta," katanya kepada media.



Mengulas tindakan orang awam mengejar suspek sehingga timbul dakwaan sebahagian barang kemas dipulangkan, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.


"Kita terima maklumat ada orang awam cuba membantu selepas kejadian, dalam masa sama, beberapa barang kemas telah dijumpai dan dikembalikan kepada pihak polis selepas kejadian.


"Namun harus diingatkan perlu berhati-hati kerana khuatir mereka ini mungkin mempunyai senjata yang lebih bahaya daripada yang digunakan," jelasnya.


Menurut Hanyan, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan.


"Kita melihat apa saja maklumat yang mereka boleh membantu kita, walaupun mereka bertopeng, daripada paras rupa, bentuk badan, perbualan, ataupun maklumat-maklumat yang lebih awal daripada sebelum kejadian, mungkin yang mereka nak salurkan, boleh terus hubungi," katanya.


Difahamkan, dua pekerja wanita yang berada dalam premis kedai emas sempat menekan penggera keselamatan sebelum kejadian disedari orang awam yang berada di pasar raya terbabit.


Hanyan berkata, berdasarkan maklumat, premis berkenaan pernah dirompak dua tahun lalu dengan nilai kerugian lebih kurang sama direkodkan.


Premis berkenaan dikatakan tidak dibekalkan pengawal keselamatan semasa kejadian. Jelas beliau, tiada sebarang kecederaan dilaporkan semasa kejadian, setakat ini.


Beliau berkata, rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di pasar raya berkenaan akan diteliti bagi membantu siasatan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan bersenjata yang membawa hukuman penjara maksimum hingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

Rabu, 16 September 2026

Polis buru suspek curi kabel TM Tech RM15,000 di Jalan Jelatek

Polis buru suspek curi kabel TM Tech RM15,000 di Jalan Jelatek


Polis mengesan beberapa individu dipercayai terlibat dalam kes cubaan mencuri kabel milik TM Tech Sdn Bhd di Jalan Jelatek, Dato Keramat, Ampang Jaya, semalam.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja syarikat itu pada pukul 4.30 petang selepas menerima rakaman video kejadian yang tular di media sosial.


Katanya, rakaman video itu memaparkan beberapa individu menggunakan kenderaan pacuan empat roda berwarna putih dan Toyota Harrier sedang menarik kabel milik syarikat berkenaan.


"Pihak syarikat menganggarkan kerugian akibat kejadian itu adalah sebanyak RM15,000. Usaha mengesan individu terbabit dan kenderaan yang digunakan dalam kejadian itu sedang dilakukan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 431A dan Seksyen 124K Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Terdahulu, media melaporkan sekumpulan individu dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel berhampiran stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek awal pagi tadi.


Menerusi video tular di Threads, ia memaparkan sekumpulan individu bersama dua buah kenderaan serta sebuah motosikal selain ada yang memakai topeng muka bagi mengelak dikenal pasti identiti mereka.


Tangkap layar video yang dikongsikan di Threads berhubung kejadian dipercayai kegiatan mencuri kabel di LRT Jelatek, semalam.

Selasa, 8 September 2026

Datin parah dipukul dengan kayu golf, anak saudara direman cubaan samun

Datin parah dipukul dengan kayu golf, anak saudara direman cubaan samun


Seorang wanita direman lima hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, kerana disyaki mencederakan ibu saudaranya menggunakan kayu golf dalam kejadian cubaan samun di sebuah rumah di Parit Raja, semalam.


Difahamkan, suspek berusia 28 tahun itu dipercayai bertindak demikian kerana terdesak untuk membayar hutang.


Perintah reman ke atas suspek dikeluarkan hari ini oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.


Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada jam 3.10 petang semalam ketika mangsa wanita berusia 71 tahun yang juga berstatus Datin berseorangan di rumah sebelum didatangi suspek.


Suspek memasuki rumah dan bertindak memukul ibu saudaranya menggunakan kayu golf di kepala dan kedua-dua pergelangan tangan hingga cedera.


Mangsa kemudiannya menjerit meminta pertolongan jiran yang menyebabkan suspek terburu-buru keluar dari rumah dan melarikan diri sambil membawa kayu golf.


Jiran mangsa kemudian bergegas ke rumahnya dan mendapati wanita itu berlumuran darah sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.


Mangsa kemudian ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan ditahan di wad untuk pemeriksaan pakar.


Bertindak atas laporan dibuat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Parit Raja bagi membantu siasatan. Selain tangkapan, polis turut merampas kayu golf yang digunakan untuk mencederakan mangsa.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.