Penyanyi rap dan pempengaruh, Ariz Ramli atau dikenali sebagai Caprice memberi sejambak bunga ros sebagai tanda mahu berdamai bersama bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat.
Beliau juga merayu supaya Ahli Parlimen Pandan itu tidak mengheretnya dalam perang politik berkait isu berkenaan.
Dalam masa sama, Caprice menafikan pernah menyebut Rafizi terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat berkaitan dirinya.
Menurutnya, segala pertanyaan yang dibuatnya terhadap Rafizi di dalam hantarannya adalah soalan yang adil.
"Saya menghulurkan tangan kepada Rafizi. Kalau Rafizi sudi, Cap sedia untuk berdamai.
"Saya belikan anda bunga hari ini, bunga ini mungkin tahan sekitar tujuh hari sebelum layu. Jadi, saya harap dalam masa tujuh hari ini, kita dapatlah berdamai dan tolonglah jangan heret Caprice dalam dunia perang politik ini.
"Kami hanya tanya soalan yang bagi Cap, soalan relevan," katanya pada sidang medianya di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Rafizi memberi amaran akan memfailkan saman terhadap Caprice sekiranya tiada permohonan maaf dibuat selepas fakta sebenar dibentangkan.
Beliau menafikan terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang berkaitan dirinya. Rafizi berkata, tuduhan itu adalah fitnah yang dijaja oleh Caprice.
Mengulas lanjut, Caprice berkata, beliau juga tidak pernah mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak.
Bagaimanapun katanya, pada jam 2.30 petang tadi, beliau melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan kepada Rafizi supaya menarik balik hantaran dibuatnya, menghentikan segala kenyataan fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.
Caprice berkata, pihaknya memberi masa kepada Rafizi sehingga jam 5 petang esok untuk menuruti notis tuntutan berkenaan.
Katanya, sekiranya Rafizi tidak menuruti tuntutan itu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kepadanya.

EmoticonEmoticon