Selasa, 18 Ogos 2026

Lapan pekerja binaan menemukan syiling dan jongkong emas bernilai RM42 juta di tapak kilang


Lapan pekerja binaan menemukan syiling dan jongkong emas bernilai sembilan juta euro (kira-kira 42.3 juta) di Belgium pada Selasa minggu lalu, menurut pihak berkuasa.


Memetik CNN, emas berkenaan ditemukan di bawah sebuah bangunan yang sedang mereka ubah suai di bandar Dendermonde, kira-kira 31 kilometer (km) barat laut Brussels.


Selepas penemuan itu dibuat, pelajar yang bekerja secara sambilan dalam bidang pembinaan, Kobe Phillips, menghubungi pemilik hartanah yang kemudian menghubungi polis.


Phillips berkata, dia menemukan emas berkenaan ketika menjalankan kerja di situ. Dia pada mulanya menyangka emas itu adalah syiling satu euro yang disusun kemas dalam satu barisan sebelum melihat satu jongkong emas kecil melekat pada tukul mereka.


Ketua Daerah Polis Dendermonde, Patrick Feys berkata, harta karun itu terdiri daripada kira-kira 40 jongkong emas dan 4,000 syiling emas yang ditemukan tersembunyi di struktur asas sebuah kilang bir lama.



Pejabat Pendakwa Raya Flanders Timur memaklumkan, polis dipanggil kerana nilai emas yang tinggi dan emas berkenaan kini disimpan di lokasi selamat serta dikawal.


Gambar yang dimuat naik di laman Facebook polis Dendermonde menunjukkan sebuah baldi logam dipenuhi syiling emas dan sebuah meja dipenuhi jongkong emas.


Dalam pada itu, Feys berkata, sebahagian jongkong emas itu mempunyai cop bertarikh sekitar 1960-an, manakala syiling berkenaan memaparkan raja serta tarikh yang berbeza.


Katanya, penemuan itu turut mendorong beberapa individu yang berpotensi menjadi penuntut untuk tampil dengan pelbagai dokumen bagi membuktikan mereka adalah keturunan pemilik emas berkenaan.


"Kami sudah menerima beberapa rakyat yang mahu menuntut emas itu dengan pelbagai dokumen untuk membuktikan bahawa mereka adalah keturunan," katanya.


Siasatan polis sedang dijalankan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam kes berkenaan.


Gambar yang dimuat naik di laman Facebook polis Dendermonde menunjukkan sebuah baldi logam dipenuhi syiling emas.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon