Gelagat seekor harimau Malaya yang mengintai dari dalam longkang di tepi jalan berhampiran laluan Gua Musang-Lojing menghala ke Cameron Highlands mencuri perhatian pengguna jalan raya selepas rakamannya tular di media sosial.
Video yang dikongsikan oleh pemilik akaun H@f!zOl Cameron itu memaparkan haiwan berkenaan bersembunyi di dalam longkang sebelum perlahan-lahan mengangkat kepala dan mengintai ke arah jalan raya, seolah-olah memerhatikan keadaan sekeliling.
Harimau itu kemudian keluar dari tempat persembunyiannya sebelum melintas jalan, sekali gus memperlihatkan kelibatnya dengan lebih jelas kepada individu yang merakam kejadian berkenaan.
Gelagat haiwan liar itu mengundang pelbagai reaksi netizen, malah ada yang menyifatkan penampilannya seolah-olah seekor kucing besar yang kelihatan malu-malu dan comel.
“Boleh tak sesiapa bela 'kucing' kecil yang malang ini?” tulis seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi meluahkan keterujaan melihat renungan mata harimau berkenaan.
Ada juga netizen berseloroh bertanyakan sama ada sesiapa sudi menyediakan tempat tinggal untuk 'kucing besar' itu, meskipun haiwan berkenaan sebenarnya merupakan pemangsa liar yang berbahaya.
Di sebalik reaksi lucu itu, kemunculan harimau Malaya di laluan berkenaan menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan yang berpotensi menjadi habitat hidupan liar.
Pemandu dinasihatkan supaya tidak berhenti untuk mendekati, memberi makan atau mengganggu haiwan berkenaan kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya, termasuk risiko serangan.
Sekiranya terserempak dengan haiwan liar, pengguna jalan raya disarankan kekal berada di dalam kenderaan, menjaga jarak selamat dan tidak melakukan tindakan yang boleh mengancam keselamatan diri mahupun haiwan tersebut.
Sebarang penampakan hidupan liar juga wajar dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.


EmoticonEmoticon