PONTIAN - Alasan mahu menjenguk anak tidak menghalang seorang lelaki daripada ditahan bersama bekas isterinya selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah di daerah ini, awal pagi tadi.
Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 1.40 pagi oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas menerima aduan daripada orang awam.
Menurut JAINJ, pemeriksaan di rumah wanita berkenaan mendapati lelaki itu berada di dalam kediaman bersama bekas isterinya. Dua anak mereka turut berada di rumah berkenaan, namun sedang tidur di ruang tamu ketika pemeriksaan dijalankan.
Siasatan awal mendapati kedua-dua individu bekerja di daerah berkenaan dan pernah mendirikan rumah tangga sebelum bercerai lebih setahun lalu.
Lelaki itu memberi alasan kehadirannya adalah untuk menjenguk anak-anak mereka. Bagaimanapun, waktu kunjungan pada awal pagi ketika anak-anak sedang tidur menimbulkan syak terhadap tujuan sebenar kehadirannya.
JAINJ turut menasihatkan pasangan berkenaan supaya mempertimbangkan untuk kembali membina rumah tangga melalui ikatan pernikahan yang sah sekiranya masih mempunyai perasaan dan keinginan untuk bersama.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.

EmoticonEmoticon