KLANG - Sebanyak 71 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam serbuan di sebuah kilang pembuatan paku bagi jenama antarabangsa di Lorong Keledang 9, Meru, di sini, semalam.
Kegiatan itu terbongkar menerusi Ops Sasar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Suasana di dalam kilang berkenaan turut mencuri perhatian apabila premis didapati dipenuhi debu, lantai berlendir dan licin, selain mengeluarkan bau seakan bahan kimia yang menyebabkan tekak terasa sakit serta hidung kurang selesa.
Tinjauan mendapati sebahagian pekerja tidak memakai kelengkapan perlindungan diri seperti topi keselamatan, sarung tangan dan cermin mata, malah ada yang tubuhnya diselaputi debu hitam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 131 individu diperiksa dalam operasi itu sebelum 71 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut.
Katanya, semua yang ditahan terdiri daripada lelaki, membabitkan seorang warga Taiwan, 51 warga Bangladesh dan 19 warga Nepal.
"Antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi berkenaan.
Turut hadir ialah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, Datuk Basri Othman.
Lokman Effendi berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, jurucakap JTKSM berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Seksyen 63A Akta Kerja 1955.

EmoticonEmoticon