BATU PAHAT - Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah merompak serta mencederakan seorang warga emas berstatus Datin menggunakan kayu golf dalam kejadian di Parit Raja, September lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen, Osman Affendi Mohd Shalleh, terhadap Nur Arisha Harmira Abd Halim, 28, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan hari ini.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara tambahan 12 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda, namun wanita itu menjelaskan bayaran berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan rompakan terhadap mangsa berusia 71 tahun menggunakan kayu golf sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah rumah di Taman Manis 2, Parit Raja, kira-kira jam 4.15 petang, 7 September lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Fakta kes menyatakan tertuduh memasuki rumah mangsa sebelum mengambil kayu golf milik arwah suami wanita itu lalu memukul kepala serta kedua-dua pergelangan tangan mangsa hingga cedera.
Mangsa yang menjerit meminta pertolongan menyebabkan tertuduh melarikan diri sambil membawa kayu golf berkenaan.
Susulan laporan polis, anggota Bahagian Siasatan Khas/Jenayah Berat (D9) menahan tertuduh di sebuah rumah di Parit Raja. Polis turut merampas kayu golf yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) sebelum dimasukkan ke wad untuk pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Farha Garieb daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

EmoticonEmoticon