Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Haiwan. Papar semua catatan

Selasa, 6 Oktober 2026

Penyelamat bingung, anjing 'hidup semula' ketika dibawa untuk dikebumikan

Penyelamat bingung, anjing 'hidup semula' ketika dibawa untuk dikebumikan


Disangka sudah mati dan dibalut kain putih untuk dikebumikan, seekor anjing jantan mengejutkan pasukan penyelamat apabila tiba-tiba bangun selepas diletakkan di atas lori mereka, lapor portal Khaosod.


Kejadian pelik itu dirakam dan tular di media sosial sehingga meraih lebih empat juta tontonan dalam tempoh semalaman dengan rata-rata warga maya terhibur dengan insiden itu.


Pengguna Facebook, Namta Khon Lew, memuat naik video itu dengan kapsyen: "Tolong! Kejadian menakutkan pada siang hari. Penyelamat dihantui anjing hantu."


Insiden lucu itu bermula apabila Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap menerima panggilan daripada seorang penduduk tempatan untuk mengambil apa yang kelihatan seperti bangkai anjing sebelum meminta mengebumikannya.


Pada Ahad, sukarelawan Persatuan Penyelamat Kamphaeng Phet Khao Phap, Theera Phuengphat, 53, berkongsi kejadian berkenaan ketika ditemui di pejabat persatuan itu di daerah Nakhon Chum, daerah Mueang.


Theera berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 2.30 petang di Moo 1, di belakang Universiti Rajabhat Kamphaeng Phet.


Seorang penduduk meminta pasukan penyelamat mengambil anjing jantan yang terbaring tidak bergerak di hadapan sebuah rumah dan kelihatan seperti sudah mati.


Sukarelawan membalut anjing itu dengan kain putih dan membawanya ke pejabat mereka dengan niat untuk mengebumikannya.


Kira-kira lima minit selepas anjing itu diletakkan di atas kenderaan, ia tiba-tiba hidup semula menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa memberhentikan kenderaan dan menurunkan anjing berkenaan sebelum ia terus berlari pergi.


Kejadian itu kemudian dimuat naik ke internet dan dengan pantas meraih jutaan tontonan serta komen.


Theera berkata pengalaman pelik itu menyebabkan pasukan penyelamat kebingungan dan ia kes pertama seumpamanya yang pernah mereka hadapi.

Isnin, 5 Oktober 2026

Polis tahan 41 lelaki, rampasan RM114,211 kerana judi sabung ayam

Polis tahan 41 lelaki, rampasan RM114,211 kerana judi sabung ayam


Seramai 41 lelaki ditahan, selain pelbagai barangan serta wang berjumlah RM114,211 dirampas dalam serbuan membabitkan kegiatan judi sabung ayam di sebuah pondok di kebun durian di Papan, dekat Batu Gajah pada Sabtu.


Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, serbuan pada 7 malam itu diketuai Bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan bantuan Bahagian D9 JSJ IPK Perak, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah IPD Batu Gajah serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perak.


Individu ditahan membabitkan 40 lelaki tempatan dan seorang warga Indonesia.


"Antara yang ditahan adalah lelaki berusia 50 tahun yang mengaku sebagai penganjur dan pemilik premis, selain dua individu lain yang dipercayai bertindak sebagai pengadil dan pembantu penganjur.


"Kegiatan itu beroperasi sejak awal tahun ini dengan kadar pertaruhan mencecah sehingga RM20,000 bagi satu pusingan," katanya pada kenyataan, semalam.


Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953, Seksyen 32 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.


Mohd Alwi menegaskan, PDRM Kontinjen Perak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti perjudian haram serta penganiayaan haiwan.

Sabtu, 3 Oktober 2026

Budak lapan tahun cedera di kepala, leher diserang lima anjing liar

Budak lapan tahun cedera di kepala, leher diserang lima anjing liar


Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di kepala dan leher selepas diserang sekumpulan anjing liar ketika bermain pasir di Pantai Kuala Kemasin, Bachok pada Khamis.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Azuar Firdaus Zuraiman mengalami beberapa luka gigitan termasuk kesan taring yang menembusi kulit di bahagian kepala dan leher.


Bapanya, Zuraiman Mahmod, 47, berkata, ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai makan keluarga yang terletak berhampiran pantai sebelum terdengar bunyi bising dan orang ramai memanggilnya dalam keadaan cemas.


Menurutnya, dia kemudian melihat seorang pekerja buruh di resort berdekatan membawa anaknya dalam keadaan berlumuran darah.


"Anak saya sebelum itu pergi bermain di kawasan berdekatan pantai bersama lima saudaranya yang sebaya pada jam 9 pagi.


"Ketika sedang bermain pasir, tiba-tiba kira-kira lima ekor anjing datang berlari ke arah mereka dan mereka terkejut lalu melarikan diri," katanya hari ini.


Zuraiman berkata, anaknya bagaimanapun terjatuh sebelum diserang dan digigit beberapa ekor anjing berkenaan manakala saudaranya yang lain terselamat.


"Dalam keadaan bergelut, anak saya sempat bangun dan menendang anjing serta lari ke arah pantai untuk selamatkan diri.


"Bagaimanapun, anjing terus mengejarnya sehingga ke pantai dan air cecah paras leher anak saya barulah anjing berhenti menyerang," katanya.


Dia berkata, seorang pekerja buruh warga asing yang menyedari kejadian berlari membantu menghalau anjing terbabit dan membawa mangsa keluar dari kawasan air sebelum membawa mangsa ke kedai makan Zuraiman.


Zuraiman kemudian bergegas membawa anaknya itu ke Klinik Kesihatan Balai sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk rawatan lanjut.


Anak saya baru selesai menjalani pembedahan untuk mencuci luka dan menjahit bahagian yang berlubang akibat gigitan anjing.


"Dua kesan taring terdapat di bahagian leher, manakala dua lagi di kepala. Keadaannya masih dirawat dan di wad dan memerlukan pemantauan doktor," katanya.


Zuraiman yang mempunyai sembilan orang anak berkata, Azuar merupakan anak kelapan dan kejadian itu menimbulkan kebimbangan kerana kumpulan anjing liar berkenaan sudah lama berkeliaran di kawasan pantai tersebut.


"Anjing-anjing itu memang sudah lama ada di kawasan pantai dan sering dilihat berkeliaran berhampiran tong sampah.


"Saya ada aduan sebelum ini, malah pernah ada usaha memasang perangkap, tetapi masalah itu hanya selesai seketika," katanya.


Dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi masalah berkenaan sebelum kejadian lebih buruk berlaku.


"Saya tidak mahu perkara seperti ini berulang kepada kanak-kanak lain dan ada yang kehilangan nyawa baru tindakan diambil," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.


"Kami menerima laporan daripada seorang pekerja resort berhampiran berhubung kejadian terbabit dan siasatan lanjut diteruskan pihak polis," katanya.

Selasa, 29 September 2026

Tiga ditahan, simpan burung tanpa lesen bernilai hampir RM710,000

Tiga ditahan, simpan burung tanpa lesen bernilai hampir RM710,000


Dua wanita dan seorang lelaki diberkas selepas didapati menyimpan pelbagai jenis burung tanpa lesen bernilai RM709,950 dalam serbuan di Kampung Binjai Manis, Kuala Terengganu.


Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Asisten Komisioner Mohd Khairuddin Jamal, berkata, serbuan dilakukan pihaknya bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu antara 4.10 petang hingga 5.30 petang Ahad.


Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas enam kediaman dan tiga individu ditahan iaitu seorang lelaki dan dua wanita berusia 46, 33 dan 23 tahun kerana kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).


"Hasil serbuan, sejumlah hidupan liar terdiri pelbagai spesies burung dilindungi berserta sangkar dianggarkan bernilai RM709,950 disita.


"Antara dirampas, 38 burung luris leher, dua burung murai batu, sembilan burung ruak-ruak dan pelbagai spesies burung lain disyaki dilindungi termasuk burung daun daun besar, punai tanah, kelicap kunyit, merbah kapur, bayan serindit, merbah jambul, bayan puling dan daun sayap biru," katanya dalam kenyataan malam tadi.


Beliau berkata, pihaknya juga merampas 60 unit sangkar dan operasi itu membabitkan keseluruhan 24 anggota.


"Semua individu yang ditahan bersama rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Sabtu, 26 September 2026

Lelaki dipenjara abaikan 71 kucing, terbiar dalam rumah flat selama dua tahun

Lelaki dipenjara abaikan 71 kucing, terbiar dalam rumah flat selama dua tahun


Seorang lelaki yang mengabaikan 71 kucing di sebuah rumah flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang di Singapura yang kotor dengan pengudaraan buruk, tanpa bekalan elektrik dan air selama hampir dua tahun sehingga mengakibatkan sembilan daripadanya mati, dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada Rabu.


Lelaki berusia 37 tahun itu turut dilarang memiliki haiwan peliharaan selama 12 bulan, menurut Lembaga Taman Negara (NParks).


Muhammad Khairul Naim Zainol, pemilik bersama kediaman berkenaan, mengaku bersalah terhadap 24 pertuduhan mengikut Akta Haiwan dan Burung kerana menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya kepada haiwan terbabit.


Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu dan bekas isterinya, Nurul Nadiah Noor Mohamed, membeli rumah flat HDB di Bukit Panjang itu pada Mac 2018. Mereka tidak memiliki haiwan peliharaan ketika itu.


Mulai awal 2019, pasangan itu memelihara beberapa ekor kucing. Oleh sebab tidak dimandulkan, kucing berkenaan membiak dengan pantas.


Sekitar April 2022, pasangan itu berpindah untuk tinggal bersama ibu bapa Khairul, tetapi meninggalkan semua kucing berkenaan di flat itu.


Keadaan kucing dan flat itu terbongkar pada 20 Februari 2024, selepas jiran memaklumkan kepada Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) mengenai seekor kucing kurus dan dalam keadaan tertekan yang bertenggek di birai penyaman udara di tingkat tiga.


Jiran menyelamatkan kucing itu sebelum membawanya ke pusat veterinar untuk pemeriksaan kecemasan.


Mereka menemukan 61 kucing hidup, tiga bangkai yang mereput, enam tengkorak kucing dan satu beg berisi rangka sekurang-kurangnya enam kucing.


Khairul kemudian mengakui semua kucing itu miliknya dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa.


Menurut kenyataan fakta kes, rumah flat itu didapati berada dalam keadaan sangat daif dan tidak bersih", dengan lantai serta perabot diselaputi najis dan kotoran, manakala bahan kumuhan ditemukan di seluruh unit.


Sarang labah-labah, lipas dan lalat turut ditemukan, selain bau ammonia yang kuat di seluruh unit.


Daripada 61 kucing hidup yang diperiksa, 44 dikategorikan sebagai kurus atau sangat kurus, manakala sembilan lagi mengalami susut badan yang teruk.


Khairul didakwa pada Mei lalu. Kedua-dua pemilik bersama rumah flat itu masing-masing berdepan 71 pertuduhan ketika itu. Kes Nadiah akan didengar pada 6 Oktober depan.

Khamis, 17 September 2026

Jabatan Perikanan sahkan ikan pirana ditemukan di Empangan Klau

Jabatan Perikanan sahkan ikan pirana ditemukan di Empangan Klau


Penemuan seekor ikan dipercayai jenis pemangsa di Empangan Klau, Raub Pahang baru-baru disahkan mempunyai ciri-ciri morfologi konsisten dengan kumpulan ikan pirana Pygocentrus. 


Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, bagaimanapun pengesahan muktamad sehingga ke peringkat spesies belum dapat dibuat disebabkan spesimen fizikal ikan berkenaan tidak tersedia untuk pemeriksaan lanjut.


Menurut beliau, ini kerana ikan terbabit dilaporkan telah mati dan dibuang individu yang menangkapnya sebelum siasatan dijalankan.


"Setakat ini hanya seekor ikan berkenaan dilaporkan ditangkap di kawasan tersebut. Siasatan dan pemantauan lapangan oleh Pejabat Perikanan Negeri Pahang sehingga 15 September 2026 juga tidak merekodkan sebarang tangkapan tambahan atau insiden keselamatan berkaitan di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sebelum ini, tular di media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau, Raub sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.


Siasatan Jabatan Perikanan Pahang mendapati ikan itu ditangkap menggunakan jala oleh seorang penduduk pada 26 Ogos lepas sebelum rakaman video mengenainya dikongsikan menerusi kumpulan WhatsApp.


Berdasarkan keterangan individu terbabit, hanya seekor ikan didakwa sebagai pirana ditangkap pada hari kejadian manakala tangkapan lain terdiri daripada lampam sungai, lampam Jawa, zebra tilapia dan peacock bass.


Dalam pada itu Adnan berkata, berdasarkan data dan bukti yang diperoleh setakat ini, belum terdapat bukti menunjukkan kewujudan populasi pirana yang telah bertapak dan membiak di Empangan Klau.


"Orang awam tidak perlu panik dan pihak kami akan terus melaksanakan pemantauan bersasar bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikenal pasti dan diambil tindakan sewajarnya," katanya.


Dalam pada itu, Jabatan Perikanan menegaskan bahawa tindakan melepaskan spesies ikan asing yang berpotensi menjadi invasif ke perairan umum adalah tidak bertanggungjawab kerana boleh menjejaskan ekosistem perairan darat, populasi ikan tempatan serta kepelbagaian biologi akuatik.


Beliau berkata, Pejabat Perikanan Negeri Pahang telah diarahkan meneruskan pemantauan berkala di Empangan Klau dan kawasan sekitarnya.


Beliau turut menasihatkan orang awam supaya tidak melepaskan semula ke dalam air mana-mana ikan yang disyaki sebagai spesies asing sekiranya ditangkap.


"Sekiranya terdapat tangkapan ikan yang disyaki sebagai ikan asing seperti ini, jangan lepaskan semula ke dalam air.


"Simpan spesimen tersebut jika masih dalam keadaan sesuai dan segera hubungi pejabat perikanan berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan serta analisis lanjut, termasuk ujian DNA jika diperlukan," katanya.

Selasa, 15 September 2026

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah


Nasib seorang suspek pemburu haram berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan, lapor Independent Online (IOL).


Jurucakap Taman Negara Afrika Selatan (SANParks) JP Louw berkata, lelaki berkenaan ditemukan meninggal dunia di kawasan semak pada hujung minggu lalu, kira-kira enam kilometer dari kawasan pintu masuk taman negara itu.


Katanya, penemuan itu dibuat selepas kedua-dua lelaki terbabit menceroboh masuk ke Kruger secara haram melalui kawasan Pafuri di bahagian utara taman berkenaan pada Jumaat.


Mereka kemudian berjalan masuk ke kawasan sekumpulan gajah berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah berbeza dan terpisah.


Lelaki yang terselamat berjaya keluar dari taman berkenaan dan pulang ke rumah sebelum memaklumkan rakan subahatnya hilang serta dia ada terdengar jeritan mangsa.


Louw berkata, perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis sebelum lelaki terbabit ditahan dengan bantuan masyarakat tempatan.


Katanya, suspek mengaku menceroboh taman itu secara haram dan membawa renjer dari pos renjer Pafuri kembali ke lokasi mereka terpisah.


"Renjer mengikut jejak dari Sungai Luvuvhu sejauh kira-kira enam kilometer ke dalam taman," katanya.


Mayat lelaki berkenaan kemudian ditemukan terbaring di penghujung laluan itu.


Louw berkata, renjer turut menemukan rangka seekor seladang ketika pencarian yang dipercayai SANParks dibunuh oleh kedua-dua lelaki terbabit.


Katanya, polis akan meneruskan siasatan termasuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca kematian lelaki berkenaan.