Selasa, 10 Mac 2026

Penjawat awam antara lapan lelaki ditahan tak puasa dalam pusat snuker


Seorang penjawat awam antara lapan lelaki Islam yang ditahan dalam serbuan Ops Ponteng oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) di sebuah pusat snuker di pusat bandar raya, Ipoh hari ini kerana disyaki tidak berpuasa serta melakukan kesalahan lain dalam bulan Ramadan.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAIPk, Asyraf Ismail berkata, operasi tersebut dijalankan selepas pihaknya melakukan risikan selama kira-kira seminggu di premis berkenaan.


Menurutnya, hasil risikan mendapati lokasi itu sering menjadi tempat individu beragama Islam datang untuk makan dan minum secara terbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan.


"Dalam serbuan hari ini, kita dapati ada individu yang makan, minum serta menghisap rokok di dalam premis berkenaan.


"Kesemua yang ditahan berusia antara 36 hingga 59 tahun dan salah seorang daripadanya ialah kakitangan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.


Beliau berkata, lima daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana tidak menghormati Ramadan.


Menurutnya, seorang lagi disiasat di bawah Seksyen 26 enakmen sama kerana berjudi, manakala dua individu lagi disiasat mengikut Seksyen 61 kerana bersubahat dalam kesalahan berjudi dan tidak menghormati Ramadan.


Asyraf berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati makanan seperti mi goreng dipercayai dibekalkan oleh sebuah kedai berhampiran dan diberikan kepada individu yang berada di dalam premis tersebut.


Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah JAIPk untuk siasatan lanjut sebelum tindakan selanjutnya diambil termasuk pengeluaran bon oleh pihak penguat kuasa.


Mengulas alasan yang diberikan oleh mereka yang ditahan, beliau berkata kebanyakannya memberikan alasan biasa seperti tidak sihat atau sekadar singgah di premis tersebut.


Menurutnya, operasi tersebut merupakan serbuan pertama dilakukan di premis berkenaan pada tahun ini, manakala serbuan terakhir pernah dibuat beberapa tahun lalu.


Tambah beliau, sepanjang Ramadan ini JAIPk meningkatkan kekerapan operasi dengan memberi tumpuan kepada tiga kesalahan utama iaitu tidak menghormati Ramadan di bawah Seksyen 24, kesalahan berjudi mengikut Seksyen 26 serta kutipan khairat tanpa kebenaran majlis di bawah Seksyen 43 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992.


Antara individu yang ditahan penguat kuasa JAIPk dalam Ops Ponteng di sebuah pusat snuker di pusat bandar raya Ipoh hari ini.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon