Perbuatan seorang guru wanita yang didakwa menjalin hubungan terlarang dengan pelajarnya terbongkar selepas video membabitkan mereka diketahui keluarga remaja berusia 17 tahun itu dan pihak sekolah.
Difahamkan hubungan terjalin sejak tahun lalu dengan mereka beberapa kali didakwa mendaftar masuk hotel di Seri Kembangan selain bertemu di kediaman guru berusia 30-an terbabit.
Menurut sumber, pelajar lelaki berkenaan mendakwa guru itu pada mulanya mengajaknya keluar untuk berjalan-jalan dan makan sebelum membawanya ke sebuah hotel di Seri Kembangan.
Katanya, guru terbabit didakwa melakukan perbuatan seksual selain merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit.
"Kejadian itu berlaku beberapa kali termasuk di kediaman suspek. Bagaimanapun perbuatan itu terbongkar Isnin lalu selepas pihak keluarga dan sekolah mengetahui mengenainya, termasuk menemui video yang dirakam," katanya.
Susulan itu, pelajar dan pihak sekolah dikatakan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Sumber berkata, susulan laporan itu, polis menahan guru wanita berkenaan di sekitar Bandar Kinrara pada 10.30 malam, Isnin lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

EmoticonEmoticon