Seorang tukang mesin rumput dipenjara 11 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan termasuk mencabul jiran yang sedang tidur minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Najib Iqbal Saleh, 21, turut membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan penyalahgunaan dadah sejurus kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 41, dengan niat mencabul kehormatannya di sebuah rumah di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka Tengah, kira-kira jam 11.30 malam, 16 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, mangsa sedang tidur di dalam bilik sebelum tersedar dan mendapati tertuduh berada di atas katilnya sebelum mencabul mangsa.
Mangsa kemudian menjerit dan berlaku pergelutan apabila tertuduh bertindak agresif serta enggan melepaskannya menyebabkan mangsa mengalami luka kecil di bahagian bawah bibir sebelah kanan.
Mangsa mengesyaki tertuduh memasuki rumah berkenaan melalui pintu yang tidak berkunci dan hanya disendal menggunakan tukul besi bagi memudahkan anaknya pulang lewat memasuki rumah.
Tertuduh kemudian ditangkap selepas laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
Dalam prosiding sama, tertuduh turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan memberikan kepada dirinya sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah seksyen sama.
Peguam, Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara ringan dengan alasan anak guamnya tidak berkemampuan membayar jaminan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, S Thiviya memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan sama dan belajar menghormati orang lain.
Beliau turut memohon supaya kedua-dua hukuman penjara dijalankan secara berasingan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh bagi kesalahan mencabul, bermula dari tarikh tangkap pada 17 September lalu.
Bagi kesalahan dadah pula, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan yang bermula selepas tertuduh selesai menjalani hukuman penjara bagi kesalahan mencabul, selain dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.

EmoticonEmoticon