PUTRAJAYA - Kelewatan pengadu membuat laporan polis selama 441 hari antara faktor yang dipertimbangkan Mahkamah Rayuan sebelum mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap pendakwah selebriti, Da'i Syed.
Keputusan majoriti 2-1 itu menyaksikan Syed Syed Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Shah Alam, pada 11 September 2019.
Hakim Datuk Azman Abdullah ketika membacakan penghakiman berkata, mahkamah mendapati terdapat kekhilafan serius dan salah arah dalam keputusan mahkamah terdahulu sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.
Menurutnya, panel turut meneliti komunikasi antara pengadu dan perayu menerusi WhatsApp serta Instagram, termasuk tingkah laku wanita itu sebelum, semasa dan selepas kejadian.
Mahkamah mengambil kira hujahan pembelaan bahawa hubungan seks berlaku atas kerelaan pengadu, selain mendapati terdapat keraguan munasabah terhadap dakwaan pendakwaan.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah komunikasi berterusan antara kedua-duanya selepas kejadian, termasuk mesej yang dihantar pengadu serta beberapa ajakan untuk bertemu semula.
Laporan polis pula hanya dibuat pada 25 November 2020, iaitu 441 hari selepas kejadian. Bagaimanapun, pihak pendakwaan berhujah kelewatan itu telah dijelaskan melalui keterangan psikiatri berkaitan keadaan emosi dan trauma yang dialami pengadu.
Azman berkata, mahkamah turut meneliti rekod kesihatan mental pengadu, namun menegaskan elemen utama dalam kesalahan rogol ialah ketiadaan kerelaan ketika hubungan seks berlaku.
Selepas meneliti keseluruhan rekod rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sehubungan itu, rayuan Da'i Syed dibenarkan dan sabitan serta hukuman yang sebelum ini dijatuhkan Mahkamah Sesyen dan dikekalkan Mahkamah Tinggi diketepikan. Beliau dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

EmoticonEmoticon