MUAR - Tindakan dua beranak menghalang operasi menangkap anjing liar sehingga mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) membawa padah apabila masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Ainun Jongin, 52, warga Indonesia dan anak perempuannya, Loo Sock Yan, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Mahkamah turut menetapkan hukuman penjara 30 hari sekiranya mereka gagal membayar denda. Bagaimanapun, kedua-duanya menjelaskan bayaran berkenaan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menghalang seorang Pembantu Kesihatan Awam MPM berusia 31 tahun ketika menjalankan tugas dalam operasi menangkap anjing liar di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, kira-kira jam 5.45 pagi, 29 Oktober lalu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu bersama anggota lain berjaya menangkap dua ekor anjing sebelum didatangi kedua-dua tertuduh yang cuba menghalang operasi dan melepaskan haiwan berkenaan.
Walaupun sudah diberi amaran bahawa pemilik perlu menuntut anjing yang ditangkap di pejabat MPM, kedua-dua tertuduh tetap mengganggu tugas anggota penguat kuasa.
Malah, mereka turut mengambil alat yang digunakan untuk menangkap anjing berkenaan, menyebabkan seorang anggota penguat kuasa wanita yang cuba mengawal keadaan terjatuh.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Tan Joes Nan.

EmoticonEmoticon