Jumaat, 30 Oktober 2026

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah


KUANTAN - Seorang bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berdepan tindakan mahkamah selepas didakwa menerima wang RM2,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasminya.


Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di hadapan Hakim Sazlina Safie.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM2,000 sedangkan beliau mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengannya dalam urusan tugas rasmi.


Perbuatan itu didakwa berlaku di luar sebuah dewan serbaguna di Cameron Highlands kira-kira jam 9.45 malam, 28 Mei tahun lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM12,000 berserta syarat tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Bagaimanapun, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan selain menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapanya yang sudah lanjut usia.


Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Tertuduh turut diwajibkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.


EmoticonEmoticon