KUALA LUMPUR - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran jelik melampau terhadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menerusi media sosial, Ogos lalu.
Kedua-dua tertuduh, Abdullah Aidid Mochtar @ Ahmad Duta, 44, dan Ashadi Zul'izzi Zainal Abidin, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Abdullah Aidid didakwa memuat naik hantaran jelik menggunakan akaun TikTok 'rookiebenz_albenzauto' pada 1 Ogos lalu, manakala Ashadi Zul'izzi didakwa melakukan kesalahan sama menerusi akaun Threads '@razakahmad725' pada 4 Ogos lalu.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Nazrul Nizam Mohd Zameri menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, kedua-dua lelaki yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Abdullah Aidid memaklumkan beliau sudah kehilangan pekerjaan sejak tiga bulan lalu, manakala Ashadi Zul'izzi bekerja sebagai pereka grafik sambilan dengan pendapatan bergantung kepada tempahan pelanggan.
Mahkamah kemudian membenarkan masing-masing diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Disember ini bagi penyerahan dokumen.

EmoticonEmoticon