Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rasuah. Papar semua catatan

Jumaat, 30 Oktober 2026

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah

Bekas ketua balai bomba didakwa terima suapan RM2,000, mengaku tidak bersalah


KUANTAN - Seorang bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands berdepan tindakan mahkamah selepas didakwa menerima wang RM2,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai urusan berkaitan tugas rasminya.


Wan Muhammad Faiz Wan Asri, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di hadapan Hakim Sazlina Safie.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima wang tunai RM2,000 sedangkan beliau mengetahui individu terbabit mempunyai hubungan dengannya dalam urusan tugas rasmi.


Perbuatan itu didakwa berlaku di luar sebuah dewan serbaguna di Cameron Highlands kira-kira jam 9.45 malam, 28 Mei tahun lalu.


Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.


Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan RM12,000 berserta syarat tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Bagaimanapun, peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya hanya berpendapatan kira-kira RM3,000 sebulan selain menanggung isteri, seorang anak dan ibu bapanya yang sudah lanjut usia.


Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.


Tertuduh turut diwajibkan melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.


Mahkamah menetapkan 11 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Rabu, 28 Oktober 2026

Dua pegawai penguat kuasa, tiga ejen direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing

Dua pegawai penguat kuasa, tiga ejen direman kes rasuah RM1 juta lindungi pekerja asing


JOHOR BAHRU - Dua pegawai agensi penguat kuasa persekutuan antara lima individu direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima suapan kira-kira RM1 juta sebagai balasan melindungi pekerja asing daripada dikenakan tindakan.


Tiga lagi individu yang turut direman ialah ejen pekerja asing yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan berkenaan.


Perintah reman selama lima hari sehingga 1 November ini dikeluarkan Majistret Dhilip Nair A/l R.N. Atchuthan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.


Kesemua suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 40 hingga 60-an. Mereka ditahan dalam operasi SPRM Johor di sekitar Selangor dan Johor, antara jam 10 pagi hingga 4 petang semalam.


Menurut sumber, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai berlaku antara 2018 hingga 2025, membabitkan 44 transaksi pindahan wang dalam talian berjumlah kira-kira RM1 juta.


Pengarah SPRM Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) serta Seksyen 16(b)(B) Akta SPRM 2009.


Siasatan bermula hasil operasi yang dibangunkan Bahagian Perisikan SPRM.

Jumaat, 23 Oktober 2026

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah

Inspektor polis dipenjara 6 tahun guna dokumen palsu dalam kertas siasatan dadah


TAWAU - Seorang inspektor polis dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Majistret Tawau, pada Jumaat, selepas didapati bersalah menggunakan dokumen palsu berkaitan siasatan kes dadah, tiga tahun lalu.


Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman terhadap Crall Mark Bait, 36, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan ketiga-tiga pertuduhan pindaan terhadapnya melampaui keraguan munasabah.


Mahkamah mengenakan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan keseluruhan tempoh pemenjaraan enam tahun.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan selepas permohonan dikemukakan peguam bela, Sylvester Kuan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu berupa rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah yang kononnya dibuat oleh tiga anggota polis ketika menjalankan tugas rasmi.


Kesalahan itu dilakukan dengan memperdayakan pihak berkaitan supaya dokumen berkenaan diterima sebagai dokumen tulen.


Tertuduh disabitkan atas ketiga-tiga pertuduhan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 466 kanun sama.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shearil Aizad Murnizam. - Sumber Harian Metro.

Rabu, 21 Oktober 2026

46 pertuduhan rasuah, bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dipenjara 8 bulan

46 pertuduhan rasuah, bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dipenjara 8 bulan


Bekas Ketua Polis Daerah Temerloh dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini selepas didapati bersalah atas 46 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM69,600 antara 2016 hingga 2023.


Keputusan itu dibuat Hakim Sazlina Safie selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 56.


"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua elemen kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan bagi semua 46 pertuduhan," katanya.


"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan.


"Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan bermula dari tarikh sabitan, dengan semua hukuman penjara berjalan serentak," katanya ketika membacakan penghakimannya hari ini.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan, susulan permohonan yang dikemukakan peguamnya, Datuk M Athimulan.


Mahkamah kemudiannya memerintahkan Mohd Azhar membayar wang jaminan tambahan sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan RM30,000.


Mohd Azhar yang berpakaian kemeja merah jambu dan blazer kelabu, kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan.


Pada 7 September 2023, Mohd Azhar mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan menerima wang melalui pindahan dalam talian ke akaun banknya antara Mac 2019 hingga Januari 2023.


Pada 29 Jun tahun ini, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan yang mencukupi bagi membuktikan kes prima facie terhadapnya.


Dalam prosiding itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohd Radzi Shah Abd Razak dan Ifa Sirhu Samsudin, manakala Mohd Azhar diwakili Athimulan dan Datuk Bob Arumugam.


Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan mitigasi, Athimulan memohon mahkamah mengenakan hukuman denda dan bukannya penjara, dengan alasan sabitan itu sudah membawa kesan serius terhadap anak guamnya.


"Anak guam saya berdepan risiko dibuang kerja daripada pasukan polis, kehilangan pencen serta faedah lain yang dikumpulkan sepanjang 33 tahun perkhidmatannya, selain reputasi dan kedudukan sosialnya terjejas.


"Sebagai penjawat awam dan pegawai polis, beliau berisiko kehilangan segala-galanya," katanya.


Athimulan berkata, jumlah wang yang terbabit bukanlah sehingga jutaan ringgit, selain keterangan menunjukkan wang berkenaan digunakan bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan aktiviti kemasyarakatan di Temerloh.


Beliau berkata, hukuman denda yang bersesuaian memadai sebagai pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat umum.


Bagaimanapun, Radzi Shah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat, termasuk penjara dan denda maksimum dengan mengambil kira keseriusan kesalahan serta kedudukan Mohd Azhar sebagai pegawai kanan polis.


"Tertuduh yang ketika itu adalah Ketua Polis Daerah Temerloh memegang jawatan tinggi dalam hierarki pasukan polis, namun menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.


"Kesalahan itu membabitkan 46 pertuduhan yang dilakukan dalam tempoh hampir empat tahun.


"Perbuatan tertuduh memberi implikasi serius terhadap reputasi pasukan polis pada pandangan masyarakat, sekali gus mewajarkan hukuman berbentuk pencegahan," katanya.


Selepas hukuman dijatuhkan, Athimulan memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan dan memaklumkan pihak pembelaan akan memfailkan rayuan pada minggu ini.

Sabtu, 10 Oktober 2026

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil

Bekas sami dipenjara 742 tahun kerana seleweng dana kuil


Bekas sami Thailand, Alongkot dijatuhi hukuman penjara terkumpul selama 742 tahun, manakala seorang individu yang mendakwa dirinya sebagai medium kerohanian, Bee dihukum penjara selama 386 tahun serta 1,480 bulan.


Hukuman itu terhadap kes penyelewengan dana kuil dan pengubahan wang haram membabitkan sumbangan lebih 10 bilion baht (kira-kira RM1.218 bilion) yang dikaitkan dengan Wat Phra Bat Nam Phu.


Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku menjatuhkan hukuman itu minggu ini, namun tempoh pemenjaraan sebenar Bee dihadkan kepada maksimum 50 tahun, selaras peruntukan undang-undang Thailand selepas mahkamah mengambil kira manfaat keterangannya dalam kes berkenaan.


Kedua-dua tertuduh turut diperintahkan membayar balik secara bersama wang berjumlah lebih 300 juta baht (RM36.55 juta).


Kes berkenaan terbongkar selepas polis Bahagian Pencegahan Jenayah menahan Alongkot dan Bee bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan sumbangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu serta kegiatan pengubahan wang haram.


Alongkot berdepan beberapa pertuduhan, termasuk menyalahgunakan kedudukan untuk menyeleweng harta, melaksanakan atau gagal melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang serta bersubahat dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Bee pula didakwa membantu penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh seorang pegawai, membantu pelaksanaan atau kegagalan melaksanakan tugas rasmi secara menyalahi undang-undang dan terlibat bersama dalam aktiviti pengubahan wang haram.


Dalam perkembangan siasatan, pegawai Biro Siasatan Pusat Thailand menjalankan pemeriksaan di 17 lokasi sekitar Bangkok dan kawasan berhampiran, selain menyita aset bernilai lebih 10 bilion baht (RM1.218 bilion).


Aset berkenaan disita bagi tujuan pemulangan kepada Wat Phra Bat Nam Phu yang dikaitkan dengan sumbangan terbabit.


Penyiasat kemudian memohon perintah tahanan mahkamah dan membantah permohonan ikat jamin terhadap kedua-dua suspek sebelum kes mereka dibawa ke Mahkamah Jenayah Pusat bagi Kes Rasuah dan Salah Laku untuk tindakan lanjut.

Khamis, 8 Oktober 2026

Tonto didakwa berikan suapan RM62,900 kepada tiga polis trafik

Tonto didakwa berikan suapan RM62,900 kepada tiga polis trafik


Seorang lelaki dipercayai tonto dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini, atas 55 pertuduhan memberi suapan berjumlah keseluruhan RM62,900 kepada tiga anggota polis trafik antara 2022 hingga awal tahun ini.


Tertuduh, Ang Lie Giap, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.


Mengikut pertuduhan, Lie Giap didakwa secara rasuah memberikan suapan iaitu wang berjumlah antara RM700 hingga RM2,000 kepada tiga anggota polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Pejabat Peronda Lebuhraya (EMPV) KESAS.


Ia sebagai dorongan tidak melakukan pemeriksaan ke atas lori semasa sekatan jalan raya.


Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara Januari 2022 hingga Februari 2026 di beberapa cawangan bank di Klang dan Shah Alam.


Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.


Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun dan didenda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, atau mana-mana yang lebih tinggi.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Asmaa' Zamri manakala tertuduh diwakili peguam K Theivaendran.


Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM15,000 dengan seorang penjamin, melaporkan diri ke Pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi kes.

Rabu, 7 Oktober 2026

Pegawai kanan agensi kerajaan antara direman kes rasuah RM155,000

Pegawai kanan agensi kerajaan antara direman kes rasuah RM155,000


Tiga individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah kira-kira RM155,000 antara tahun 2024 hingga tahun lalu.


Pegawai kanan terbabit dan dua lagi iaitu penjawat awam dan pemilik syarikat berusia lingkungan 40-an dan 50-an ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 9 malam pada Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.


Mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu kemudian dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar untuk proses reman pada pagi Selasa.


Majistret Eliana Ismail kemudian membenarkan ketiga-ketiga mereka direman selama lima hari sehingga 10 Oktober ini.


Menurut sumber, penahanan mereka adalah bagi membantu siasatan kes memberi dan menerima rasuah kira-kira RM155,000 sebagai balasan meluluskan sebut harga pembekalan baju sukan.


"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2024 hingga 2025.


"Bagi dua suspek yang merupakan penjawat awam, mereka disyaki telah menerima wang rasuah secara tunai dan juga melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.