Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lanjut berkait kes penyelewengan dana badan bukan kerajaan (NGO), khususnya di bawah peruntukan pengubahan wang haram.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata selain penyelewengan dana RM230 juta di Selangor, tangkapan susulan juga mungkin diadakan berkait satu lagi kes membabitkan NGO di Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, beliau berkata sebarang perkembangan termasuk tangkapan lanjut akan dibuat seiring perkembangan siasatan.
"Jika terdapat individu yang didapati terbabit atau bersubahat, kami mungkin akan memanggil atau menahan mereka bagi membantu siasatan," katanya kepada media pada Majlis Penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang Padang Lebar di Batu Kikir, dekat Kuala Pilah di Negeri Sembilan.
Mengulas perkembangan kes di Selangor, beliau berkata seorang daripada tiga suspek yang ditahan berhubung kes penyelewengan dana awam itu dibebaskan dengan jaminan, dengan tempoh reman bagi dua lagi suspek yang akan tamat esok dijangka dilanjutkan.
"Kami akan memohon lanjutan reman kerana memerlukan lebih masa untuk mendapatkan dokumen bank serta merakam keterangan saksi-saksi berkaitan," katanya.
Tambah Azam lagi, siasatan untuk kes berkenaan yang membawa kepada penemuan aset dan dana dianggarkan kira-kira RM230 juta, kini mencapai tahap 85 peratus.
"Aset berkenaan termasuk empat bidang tanah, tujuh rumah, tiga unit pejabat, 18 kenderaan dan barangan berharga lain.
"Kami sedang menjalankan siasatan dan kira-kira 40 saksi dikenal pasti untuk dipanggil membantu siasatan," katanya.
Mengulangi kenyataan bahawa kes ini tidak membabitkan penyalahgunaan dana zakat, Azam berkata ia sebaliknya tertumpu kepada sebuah NGO yang mengumpul sumbangan awam di bawah konsep fisabilillah.
"NGO itu menerima komisen daripada kutipan dengan mengekalkan 60 peratus, manakala 40 peratus lagi disalurkan kepada negeri-negeri berkaitan.
"Namun, dana itu disalahgunakan untuk tujuan peribadi serta bagi kepentingan ahli keluarga," katanya.
Tambahnya lagi, SPRM akan terus menyita aset dan dana dipercayai berkaitan kes ini bagi menentukan sama ada ia diperoleh secara sah.
Untuk kes di Negeri Sembilan pula, Azam mengesahkan SPRM menyita wang tunai dan akaun bank membabitkan nilai lebih RM18 juta yang dikaitkan dengan sebuah NGO yang disyaki menyalahgunakan sumbangan awam.
Setakat ini, katanya keterangan 15 saksi sudah pun dirakam dan pihaknya menjangkakan akan memanggil 14 hingga 15 individu lain untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Azam memaklumkan untuk kedua-dua kes dia atas, siasatan mungkin menghadapi kelewatan berikutan keperluan mendapatkan dokumen perbankan, khususnya bagi rekod antara 2018 hingga 2022.
"Bagi rekod lebih terkini iaitu dari 2023 hingga 2025, ia lebih mudah diperoleh. Namun, dokumen lama mengambil masa lebih lama kerana bank memerlukan tempoh pemprosesan lebih panjang.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan kerjasama daripada pihak bank dan dokumen terbabit biasanya dapat disediakan dalam tempoh dua minggu," katanya.

EmoticonEmoticon