Sepasang suami isteri bersama seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram (kg), bulan lalu.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Mohd Rizuan Ramli, 37, Muhammad Amir Aswad Ismail, 27, dan Nur Atiqa Anis Ramadha Abdullah, 24, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 510 kg.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di jalan utama berdekatan persimpangan mini tar Pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) Wang Kelian, Jalan Wang Kelian, Kaki Bukit dalam daerah Padang Besar, pada jam 9.30 pagi, 24 Mac lalu.
Berikutan itu, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum gantung, hendaklah dikenakan sebatan minimum 12 sebatan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Alif Farhan Hassan, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Nur Iman Nor Azmi. Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan laporan kimia.
Media sebelum ini melaporkan, taktik licik penyeludup dadah membawa isteri seolah-olah bersiar bagi mengaburi pihak berkuasa gagal selepas polis berjaya merampas 510 kg dadah jenis methamphetamine bernilai RM25.5 juta.
Operasi penahanan suspek bagaimanapun mencemaskan apabila polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan sindiket yang cuba melarikan diri, sebelum terbabas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata kejayaan melumpuhkan rangkaian besar sindiket itu adalah hasil serbuan di Wang Kelian dan Kaki Bukit dari 24 hingga 28 Mac lalu.

EmoticonEmoticon