Seorang remaja perempuan dicekup dalam keadaan tanpa seurat benang bersama teman lelakinya yang hanya berseluar dalam selepas disyaki berkhalwat di sebuah hotel di Kluang, semalam.
Remaja berusia 19 tahun dan teman lelakinya berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi jam 1.30 pagi.
JAINJ dalam kenyataan, memaklumkan sebaik tiba di hotel penguat kuasa mengetuk pintu bilik dan kira-kira dua minit kemudian, seorang lelaki membukanya.
"Lelaki itu bagaimanapun cuba menutup semula pintu sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa JAINJ yang berjaya menghalangnya. Sebaik memasuki bilik hotel, penguat kuasa mendapati lelaki hanya berseluar dalam.
"Di atas katil pula, terdapat individu bersembunyi dalam selimut dan apabila ditanya oleh penguat kuasa lelaki itu tergagap untuk menjawab.
"Pemeriksaan lanjut oleh penguat kuasa wanita mendapati remaja perempuan tidak berpakaian sebelum diminta ke bilik air dengan menutupi selimut bagi menyalin pakaian," katanya.
Menurut JAINJ, pasangan itu kelihatan ketakutan malah turut merayu simpati kepada penguat kuasa supaya tidak menahan mereka.
"Mereka juga mengaku hubungan sekadar pasangan kekasih. Lelaki itu sudah bekerja dan memberitahu datang dari daerah lain yang jaraknya 50 kilometer dengan menaiki kereta. Pada mulanya, mereka sekadar bersiar serta menikmati makanan sehinggalah berakhir di bilik hotel.
"Apabila ditanya kenapa bermalam di hotel, mereka memberitahu tidak sempat pulang kerana sudah lewat malam. Penguat kuasa kemudian merekodkan keterangan dan pada masa sama turut memanggil ibu bapa pasangan ini untuk menjamin mereka.
"Pasangan ini akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat," katanya.

EmoticonEmoticon