Jumaat, 17 April 2026

Seludup 2,000 semut keluar dari Kenya, lelaki China dijel setahun


Seorang warga China dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda oleh mahkamah di Nairobi, Rabu lalu, selepas didapati cuba menyeludup beribu-ribu semut keluar dari Kenya, satu perdagangan lumayan di Afrika Timur yang terbongkar tahun lalu.


Serangga berkenaan sebahagian besarnya dihantar ke China, Amerika Syarikat (AS) dan Eropah untuk dijadikan haiwan peliharaan dan boleh bernilai kira-kira AS$100 (kira-kira RM470) setiap seekor.


Kes penyeludupan semut itu sebelum ini menjadi perhatian apabila dua remaja Belgium ditahan kerana memiliki hampir 5,000 semut yang disimpan dalam tiub uji sebelum didenda kira-kira AS$7,700 (kira-kira RM36,000).


Suspek, Zhang Kequn yang berjaya mengelak daripada ditangkap sehingga penahanannya pada 10 Mac lalu turut dikaitkan dengan satu lagi kes membabitkan dua individu, masing-masing warga Vietnam dan warga tempatan.


Lebih 2,200 semut termasuk 1,948 spesies berharga Messor cephalotes ditemukan di dalam tiub uji di dalam bagasi Zhang di Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta ketika dia dijadualkan berlepas ke China.


Di mahkamah Nairobi, Hakim Irene Gichobi menyifatkan Zhang sebagai tidak menunjukkan penyesalan dan "bukan individu yang jujur sepenuhnya".


Beliau berkata, tertuduh didenda satu juta syiling Kenya (kira-kira RM36,000) dan dijatuhi hukuman penjara setahun selepas tempoh rayuan selama 14 hari berakhir.


Katanya, tertuduh akan "dirujuk semula ke negara asalnya selepas hukumannya berakhir".


"Terdapat keperluan untuk hukuman berat yang memberi pengajaran," katanya sambil mengambil kira peningkatan kes membabitkan penyeludupan semut taman dalam jumlah besar dan kesan negatif terhadap ekologi.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon