Khamis, 28 Mei 2026

Kemungkinan penyaman udara rosak punca 6 bayi baru lahir maut di wad Hospital



Kejadian enam bayi baru lahir meninggal dunia di sebuah wad di Hospital Kolej Perubatan Ad-din di kawasan Moghbazar, Dhaka awal pagi Rabu, mendorong pihak berkuasa berkaitan mengambil tindakan segera, lapor The Business Standard.


Ketua Pengarah Direktorat Jeneral Perkhidmatan Kesihatan (DGHS), Profesor Dr Pravath Chandra Biswas berkata, pihaknya menubuhkan jawatankuasa siasatan khas yang dianggotai tiga pegawai kanan dan diarahkan mengemukakan laporan dalam tempoh 72 jam.


Jawatankuasa itu terdiri daripada Timbalan Setiausaha Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga, seorang pegawai berpangkat timbalan pengarah dari hospital DGHS serta seorang lagi daripada pegawai agensi berkenaan.


"Sebarang kerosakan berkaitan sistem penyaman udara atau masalah teknikal lain akan dikenal pasti dan pakar teknikal turut akan disertakan dalam jawatankuasa ini jika perlu," katanya selepas meninjau kemudahan hospital itu.


Menurut Pravath, siasatan awal mendapati wad berkenaan berada dalam keadaan sesak dan kurang pengudaraan awal pagi kelmarin dipercayai berpunca daripada masalah sistem penyaman udara atau faktor lain.


Beliau berkata, sistem penyaman udara di wad itu dipasang tanpa menyediakan pengudaraan alternatif sekiranya ia gagal berfungsi sekali gus menjejaskan keadaan pesakit di dalam wad berkenaan.


Pravath berkata, siasatan akan meneliti sama ada terdapat unsur kecuaian dalam pelaksanaan tugas dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil sekiranya bukti kecuaian ditemukan.


Polis memaklumkan bayi yang berusia antara satu hingga dua hari itu ditempatkan di wad selepas pembedahan hospital berkenaan iaitu tempat ibu dan bayi baru lahir ditempatkan selepas menjalani proses kelahiran secara pembedahan.


Timbalan Pesuruhjaya Bahagian Ramna Polis Metropolitan Dhaka, Sheikh Zahidul Islam berkata, pegawai jabatan siasatan jenayah dan unit polis lain dikerahkan segera untuk menyiasat keadaan di sekitar lokasi kejadian.


Pihak polis mengesyaki kemungkinan kebocoran gas dalam sistem penyaman udara atau kerosakan mekanikal lain sebagai punca kejadian itu manakala pegawai dari Balai Polis Ramna mengesahkan kes ini masih dalam siasatan.


Sementara itu, Ketua Pengarah (Hospital dan Keperawatan) kemudahan perubatan berkenaan, Profesor Dr Nahida Yasmin menyifatkan insiden itu sebagai satu 'kemalangan' dan memaklumkan terdapat 11 ibu serta enam bayi di wad berkenaan ketika kejadian.


Beliau berkata, dua daripada bayi berkenaan tiba-tiba jatuh sakit pada waktu malam sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) namun selepas jam 3 pagi, doktor mengesahkan keadaan mereka stabil dan mereka dipulangkan semula ke wad.


Bagaimanapun, jururawat dan ibu mendapati kesemua enam bayi berada dalam keadaan kritikal selepas jam 6 pagi.


Mereka kemudian dihantar ke NICU semula, namun kesemua bayi berkenaan disahkan meninggal dunia antara jam 6 pagi hingga 9 pagi.


Pasukan forensik menyiasat punca enam bayi baru lahir meninggal dunia di Hospital Kolej Perubatan Ad-din di Mogbazar, Dhaka. - Foto Agensi.


EmoticonEmoticon