Seorang pengawal keselamatan tergamak memukul isteri sendiri selepas wanita itu enggan memberi duit untuk dirinya membeli dadah. Namun perbuatannya itu menerima padah apabila Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadapnya.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Faizzul Ridwan Ab Rahman, 36, yang mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya berusia 41 tahun di sebuah rumah di Kampung Paya Rumput, Melaka Tengah, kira-kira jam 8 pagi, pada 24 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 326A membolehkan hukuman penjara digandakan bagi kesalahan membabitkan pasangan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh meminta wang daripada isterinya untuk membeli dadah, namun permintaan itu ditolak kerana mangsa tidak mempunyai wang.
Disebabkan tidak berpuas hati tertuduh kemudian menggunakan telefon bimbit isterinya untuk menghubungi ibu serta adik kandung wanita terbabit bagi meminjam wang, namun panggilan itu tidak dilayan.
Tertuduh kemudian bertindak menendang paha mangsa selain memaksa wanita itu mencari RM100 untuk membeli dadah.
Dia turut mengugut mahu membakar motosikal isterinya sekiranya gagal mendapatkan wang selain meminta mangsa membayar denda RM1,000 bagi kes dadah yang masih dalam perbicaraan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana sebagai suami, dia sepatutnya melindungi isteri, bukannya mencederakannya.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya hanya memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan sebagai pengawal keselamatan serta menanggung dua anak.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bermula dari tarikh tangkapan pada 24 Mei lalu.

EmoticonEmoticon