Lelaki maut selepas dilanggar kenderaan dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 2 petang.
"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat sekumpulan lelaki bergaduh sehingga berlaku kejadian tetakan antara mereka.
"Sebuah kenderaan jenis Perodua Alza kemudian dipercayai melanggar salah seorang suspek sehingga menyebabkan kematian di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sarudin berkata, susulan kejadian Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah memburu suspek dan berjaya menahan seorang lelaki.
Katanya, kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.
"Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Terdahulu, insiden berkenaan tular di media sosial selepas rakaman kamera papan pemuka menunjukkan terdapat sekumpulan individu dilihat meluru keluar dari kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.
Sebuah lagi kereta pula dilihat membuat pusingan dan melanggar seorang individu sebelum beberapa individu lain menyerangnya.

EmoticonEmoticon