Ahad, 11 Oktober 2026

Dakwaan Rohingya guna pasport Bangladesh perlu bukti - Saifuddin


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengulas lanjut dakwaan seorang lelaki Rohingya menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dari Malaysia kerana tiada bukti kukuh berhubung perkara itu.


Menurutnya, sebarang dakwaan perlu disertakan bukti kukuh dan jelas sebelum beliau memberikan maklum balas.


"Saya tak mahu respon kepada khabar atau dakwaan. Kalau ada suatu hujah yang kuat, bukti yang terang, baru saya boleh respon. Tak ada dalam pengetahuan saya tentang masalah ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, di Kulim pada Sabtu.


Sebelum ini, pempengaruh media sosial, Isa Isarb memuat naik kandungan melawat perkampungan etnik Rohingya di Cox's Bazar dan menemu bual lelaki yang mengaku menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dari Malaysia.


Berdasarkan dakwaan lelaki tersebut, dia mengakui tidak mempunyai kad UNHCR ketika berada di Malaysia.


Dia bagaimanapun meminta bantuan ibu bapa yang berada di Bangladesh sebelum menyediakan pasport dengan pihak Imigresen bagi membolehkannya balik ke negara itu.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon