Ahad, 11 Oktober 2026

'Bukan sekadar hantar asap, kami juga bekalkan oksigen kepada negara jiran' - Pegawai Pemerintah Indonesia


Indonesia meminta Malaysia dan Singapura memahami bahawa kebakaran hutan dan tanah yang menyebabkan jerebu rentas sempadan ketika ini didakwa berpunca daripada fenomena alam, bukannya kesilapan manusia.


Ketua Badan Komunikasi Pemerintah Indonesia (Bakom), Syahganda Nainggolan berkata, kerajaan memahami kebimbangan kedua-dua negara berhubung pencemaran udara akibat asap kebakaran hutan yang melanda beberapa wilayah republik itu.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kejadian berkenaan berlaku di luar kawalan manusia dan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada fenomena alam.


"Jadi, kami juga meminta semua negara jiran memahami bahawa perkara ini berlaku di luar faktor kesilapan manusia. Ini benar-benar fenomena alam," katanya di pejabat Institut Ketahanan Nasional (Lemhannas), Jakarta pada Sabtu.


Menurut laporan Kompas.com, Syahganda berkata, hubungan diplomatik antara Indonesia dengan Malaysia kekal baik meskipun kedua-dua negara kini berdepan isu pencemaran udara rentas sempadan.


Beliau berkata, kerajaan Indonesia terus memberikan penjelasan kepada Malaysia dan Singapura mengenai situasi kebakaran hutan serta usaha yang sedang dilaksanakan untuk menanganinya.


Malah, Syahganda turut mengeluarkan kenyataan bahawa Indonesia bukan sahaja menyumbang kepada penyebaran asap, malah turut membekalkan oksigen kepada negara jirannya melalui kawasan hutan yang luas.


"Kami bukan sekadar menghantar asap, tetapi apabila tiada asap, kami menghantar oksigen. Oksigen di Singapura dan Malaysia juga datang daripada hutan-hutan kami," katanya.


Syahganda turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghantar wakil menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi membincangkan isu kebakaran hutan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia.


Menurutnya, perbincangan antara kedua-dua negara sedang diperincikan bagi mencari pendekatan bersama dalam menangani kebakaran hutan dan tanah yang menjadi punca jerebu.


"Kami sedang memperincikan perbincangan supaya masalah kebakaran hutan ini dapat ditangani secara bersama," ujarnya.


Sementara itu, kerajaan Malaysia sebelum ini berharap rundingan teknikal dengan Indonesia berhubung operasi memadamkan kebakaran hutan dapat diselesaikan segera bagi membolehkan pasukan bantuan negara dihantar ke kawasan terjejas.


EmoticonEmoticon