Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu susulan insiden gandar belakang sebuah kereta model itu tercabut di Johor Bahru, minggu lalu.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata penggantungan itu akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian Chery Omoda 5 yang berpotensi terjejas.
Beliau berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah pencegahan awal sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan kenderaan berkenaan dapat dikenal pasti.
"Chery Malaysia dikehendaki mengenal pasti semua unit kenderaan yang berpotensi terjejas berdasarkan nombor komponen, kelompok pengeluaran, nombor casis serta parameter teknikal berkaitan.
"Panggilan semula hendaklah dilaksanakan terhadap semua kenderaan yang dikenal pasti berisiko bagi tujuan pemeriksaan dan tindakan pembetulan sewajarnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Aedy Fadly berkata, jabatan itu juga akan menjalankan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 serta pembekal komponen gandar berkaitan.
Audit berkenaan merangkumi pematuhan amalan pengilangan yang baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan dan tahap keselamatan komponen yang digunakan.
"JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
"Pengeluar bertanggungjawab memastikan setiap kenderaan yang dipasarkan memenuhi piawaian keselamatan dan keperluan teknikal yang ditetapkan," katanya.
Menurutnya, penggantungan berkenaan hanya akan ditarik balik selepas semua tindakan pembetulan dan pencegahan dilaksanakan sepenuhnya.
Ia juga tertakluk kepada pengesahan teknikal JPJ segala risiko keselamatan sudah ditangani dengan sewajarnya.
Terdahulu, gambar dan video sebuah Chery Omoda 5 berwarna hitam yang mengalami kerosakan pada bahagian gandar belakang tular di media sosial selepas kejadian di Johor Bahru, minggu lalu.
Rakaman berkenaan memaparkan gandar belakang bersama kedua-dua roda belakang kenderaan itu terpisah daripada badan kereta.
Insiden itu turut mengundang perhatian susulan kejadian hampir sama pada April 2024 yang membawa kepada kempen pemeriksaan membabitkan 600 unit Chery Omoda 5.
Ketika itu, Chery Auto Malaysia mengenal pasti masalah penentukuran peralatan kimpalan di pihak pembekal komponen sebagai punca kerosakan gandar belakang.
Bagaimanapun, belum ada pengesahan insiden terbaharu mempunyai kaitan dengan masalah yang dikenal pasti pada 2024.

EmoticonEmoticon