Polis India membongkar sindiket penipuan siber dan pemerdagangan manusia antarabangsa yang membawa kepada penyelamatan 164 mangsa, terdiri daripada 92 warga Indonesia dan 72 rakyat Malaysia.
Seorang warga Malaysia berusia 25 tahun, Tan Guan Wei dari Negeri Sembilan, ditahan kerana disyaki terlibat dalam operasi sindiket yang mengurung mangsa dan memaksa mereka menjalankan penipuan siber.
Dalam serbuan oleh Unit Antara Negeri, Cawangan Jenayah, polis merampas 355 telefon bimbit, 168 komputer meja, 26 komputer riba, 53 kad SIM serta 174 pasport.
Mangsa dipercayai dibawa ke India dengan tawaran pekerjaan dan pendapatan lumayan, namun sebaik tiba, mereka dikurung dan dipaksa menjalankan penipuan pelaburan dalam talian menggunakan platform palsu serta aplikasi APK, termasuk Zenttrix dan Quantvoro.
Sindiket itu didakwa menggunakan identiti wanita palsu di media sosial untuk mendekati mangsa, membina hubungan dan mendapatkan kepercayaan sebelum memujuk mereka melabur wang dalam platform dagangan palsu.
Polis turut mengesyaki dua individu, Sunil Kumar dan Sushil Kumar, bertindak sebagai penyelaras di India, manakala akaun bank mereka dipercayai digunakan bagi membayar sewa premis serta kos operasi sindiket.
Daripada 174 pasport yang dirampas, 95 milik warga Indonesia dan 79 milik rakyat Malaysia. Peranti digital, pelayan, komunikasi serta transaksi kewangan kini dianalisis bagi mengesan rangkaian sindiket, aliran wang dan individu lain yang terlibat.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta membongkar keseluruhan rangkaian pemerdagangan manusia dan penipuan siber antarabangsa itu.


EmoticonEmoticon