HONG KONG - Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan Jabatan Imigresen selepas ujian forensik mengesahkan empat halaman pasport wanita itu dikoyakkan secara sengaja, sekali gus menafikan dakwaan kerosakan akibat kecacatan pembuatan.
Pasangan itu ditahan di Lam Tin pada petang Khamis selepas Makmal Kerajaan mengesan sisa gentian kertas pada halaman 15 hingga 18 pasport berkenaan, membuktikan dokumen itu telah diusik.
Menurut The Standard, wanita berusia 27 tahun itu sebelum ini mendakwa pasportnya mengalami kecacatan cetakan sehingga menyebabkan dia ditolak masuk ke Jepun awal minggu ini.
Dia bersama teman lelakinya merancang percutian sempena hari jadi selama seminggu bermula 23 November, namun pegawai imigresen Jepun mendapati pasportnya melangkau halaman 14 terus ke halaman 19, sebelum mengarahkannya pulang ke Hong Kong.
Dakwaan wanita itu menerusi Threads, yang meraih lebih 1.1 juta tontonan, turut menyatakan jahitan pasport tidak menunjukkan kesan koyakan dan mendakwa pegawai imigresen Hong Kong mengesahkan kecacatan itu ketika ketibaannya.
Bagaimanapun, ketika dipanggil memberi keterangan pada Rabu bagi memohon pasport gantian, wanita itu menarik balik dakwaan bahawa pegawai imigresen menyalahkan kesilapan cetakan, namun tetap menafikan merosakkan pasport berkenaan.
Mengikut Ordinan Imigresen Hong Kong, perbuatan mengubah suai pasport tanpa kebenaran atau memiliki dan menggunakan dokumen perjalanan yang diubah secara tidak sah boleh membawa hukuman maksimum penjara 14 tahun serta denda HK$150,000 (kira-kira RM79,000). Individu yang bersubahat juga boleh dikenakan hukuman sama.
Sementara itu, kesalahan mengelirukan pegawai imigresen boleh dikenakan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda HK$10,000 (kira-kira RM5,200).

EmoticonEmoticon