Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai membiarkan kandungan yang didakwa palsu dan berunsur fitnah oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo terus disebarkan di YouTube.
Saman itu difailkan pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi Tetuan Sitham & Associates. Pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Dalam pernyataan tuntutan, MCMC berkata pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu dan mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di YouTube.
Suruhanjaya itu kemudian mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober, mendakwa syarikat berkenaan gagal melaksanakan kewajipan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya.
MCMC mendakwa Google gagal menyiasat, mengambil tindakan segera, memadam kandungan atau menyekat akses kepada hantaran serta saluran YouTube berkenaan selepas menerima notis.
Kegagalan itu didakwa menyebabkan kandungan yang dipertikaikan terus tersebar, sekali gus menjejaskan persepsi dan kredibiliti pemimpin negara serta menghakis keyakinan awam.
Menurut MCMC, kandungan berkenaan didakwa palsu, mengelirukan dan tidak berasas, melibatkan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.
MCMC turut memohon perintah mahkamah supaya Google menyekat akaun YouTube berkenaan dan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan serta memadam kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri, termasuk yang dimuat naik melalui akaun pihak ketiga atau siaran langsung.
Selain deklarasi berhubung kewajipan Google mematuhi arahan MCMC dan dakwaan pelanggaran tanggungjawab berjaga-jaga, suruhanjaya itu turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing RM100 juta, atau jumlah lain yang ditentukan mahkamah.
MCMC turut memohon faedah, kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Tuntutan tersebut merupakan dakwaan MCMC dalam prosiding saman dan belum diputuskan oleh mahkamah.

EmoticonEmoticon