Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Global. Papar semua catatan

Isnin, 5 Oktober 2026

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun

Lelaki warga Vietnam ditahan disyaki terbabit 200 kes pecah rumah di Jepun


Polis Metropolitan Tokyo menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam rangkaian kes pecah rumah secara besar-besaran di ibu negara dan 10 wilayah lain di Jepun membabitkan 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta), lapor Tokyo Reporter.


Menurut laporan media tempatan, suspek dikenali sebagai Tran Thanh Hai, 31, yang tidak bekerja dan tidak mempunyai kediaman tetap.


Dia dipercayai bertindak sebagai pemandu khas bagi kumpulan penjenayah yang turut dianggotai sekurang-kurangnya tiga lagi lelaki warga Vietnam.


Tran ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah dan mencuri susulan kejadian di sebuah kediaman di Bandar Sanjo, wilayah Niigata pada Oktober tahun lalu yang menyaksikan wang tunai kira-kira 100,000 yen (kira-kira RM2,500) dilarikan.


Ketika disoal siasat, Tran mengaku melakukan perbuatan berkenaan dan memberitahu bahawa dia direkrut menyertai kumpulan itu ketika berada di sebuah premis permainan pachinko.


"Saya direkrut di sebuah premis pachinko di wilayah Gunma oleh seseorang yang menawarkan 'pekerjaan memandu jarak jauh'.


"Saya memandu ke seluruh Jepun dan menerima ganjaran antara 60,000 yen (kira-kira RM1,500) hingga 100,000 yen (kira-kira RM2,500) bagi setiap perjalanan," katanya kepada pegawai penyiasat.


Polis mendapati Tran datang ke Jepun pada 2022 menerusi program latihan teknikal anjuran kerajaan, namun menetap di negara itu secara haram selepas tinggal lebih masa sejak tahun berikutnya.


Pihak berkuasa percaya kumpulan berkenaan aktif menyasarkan dan menceroboh rumah tidak berpenghuni sejak awal Jun tahun lalu.


Kumpulan itu disyaki terbabit dalam lebih 200 kes pecah rumah di Tokyo, Saitama, Chiba, Gunma, Tochigi, Ibaraki, Fukushima, Niigata, Nagano, Yamanashi dan Shizuoka.


Secara keseluruhan, siri kecurian berkenaan mengakibatkan kerugian wang tunai dan barangan berharga yang dianggarkan bernilai 69 juta yen (kira-kira RM1.79 juta).


Polis kini meneruskan siasatan terhadap kes jenayah lain yang mungkin dilakukan kumpulan berkenaan selain aktif mengesan rakan subahat Tran yang masih bebas.

Rabu, 30 September 2026

Aksi duduk atas penyu cetus kontroversi, lelaki berdepan tindakan undang-undang

Aksi duduk atas penyu cetus kontroversi, lelaki berdepan tindakan undang-undang


Tindakan pelancong lelaki duduk di atas seekor penyu sambil menunjukkan ototnya selain memegang anak haiwan itu membawa padah apabila dia kini berdepan tindakan undang-undang di Oman.


Rakaman yang turut dikongsi media tempatan bagi meningkatkan kesedaran menunjukkan pelancong terbabit duduk di atas belakang seekor penyu sambil menunjukkan otot bahunya.


Pada masa sama, dia dilihat memegang seekor anak penyu dengan sebelah tangannya.


Khaleej Times melaporkan, perbuatan lelaki terbabit dirakam di kawasan Ras Al Hadd sebelum video berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian pihak berkuasa negara itu.


Pihak Berkuasa Alam Sekitar Oman memaklumkan, tindakan diambil selepas pihaknya memantau rakaman yang tersebar dan mendapati perbuatan berkenaan melanggar undang-undang serta peraturan perlindungan hidupan liar negara itu.


"Kita mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh, mendekati atau mengganggu penyu bagi memastikan keselamatan haiwan itu serta memelihara habitat semula jadinya


"Perlindungan biodiversiti adalah tanggungjawab bersama yang memerlukan kesedaran dan komitmen semua pihak termasuk rakyat tempatan, penduduk serta pelancong.


"Pengunjung perlu melaporkan sebarang pelanggaran atau perbuatan yang boleh memudaratkan hidupan liar kerana tindakan yang mengancam haiwan serta habitat semula jadi tidak akan diterima," katanya.


Ras Al Hadd yang terletak di wilayah Sur, Sharqiya kira-kira 350 kilometer dari Muscat menjadi lokasi antara 6,000 hingga 12,000 penyu datang bertelur sepanjang musim panas dari Jun hingga Oktober setiap tahun.


Kawasan itu menjadi habitat empat jenis penyu iaitu penyu agar, penyu lipas, penyu karah dan penyu tempayan manakala penyu belimbing turut ditemui di perairan berhampiran pantai Oman.


Penyu agar antara spesies paling banyak ditemui di Ras Al Hadd dengan haiwan berkenaan menghabiskan sebahagian besar kehidupannya di laut sebelum kembali ke daratan ketika musim panas untuk bertelur.

Rabu, 23 September 2026

Dalam dinding, lantai dan perabot ada RM14.94 juta, 34 individu ditahan dalam serbuan awal pagi

Dalam dinding, lantai dan perabot ada RM14.94 juta, 34 individu ditahan dalam serbuan awal pagi


Pihak berkuasa Itali menemukan wang tunai berjumlah 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang disembunyikan di dalam dinding, lantai dan perabot sebuah pangsapuri di Napoli pada Isnin, dalam serbuan awal pagi yang membawa kepada penahanan 34 individu.


Pegawai penguat kuasa undang-undang anti-mafia menemukan wang tunai dalam bentuk wang kertas 50 euro di sebuah kediaman di Caivano, menurut kenyataan polis tentera Napoli Carabinieri kepada CNN.


Bongkah wang kertas yang dibalut dengan selofan dan disusun kemas di bawah jubin lantai serta laci tersembunyi di dalam almari pakaian itu dikeluarkan menggunakan baldi plastik sebelum dimasukkan ke dalam kenderaan kalis peluru.


Polis turut menemukan 11 jam tangan mewah jenama Rolex, senjata api dan peralatan menjual dadah dalam serbuan berkenaan, kata pegawai pada sidang media di Napoli pada Isnin.


Serbuan itu adalah sebahagian daripada operasi sulit selama beberapa bulan yang diketuai pendakwa raya anti-mafia Neapolitan, Nicola Gratteri.


Menurut Gratteri, pihak berkuasa turut memintas talian telefon bimbit milik anggota mafia yang dipenjarakan selepas peranti berkenaan diseludup masuk oleh ahli keluarga.


"Bagi membuktikan kepentingan operasi ini, di satu kediaman sahaja, kami merampas wang tunai 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) selain jam tangan berharga," katanya.


Pihak berkuasa memaklumkan maklumat berkenaan diperoleh daripada pemberi maklumat yang memberikan bukti kepada pendakwa raya sebagai pertukaran untuk mendapatkan perlindungan.


Mereka yang ditahan didakwa anggota kumpulan Angelino clan yang dikatakan sudah meresap ke Caivano sehingga pentadbiran tempatan terpaksa diletakkan di bawah pentadbiran kehakiman tahun lalu, kata Gratteri.


Menurut kenyataan Carabinieri, 34 individu itu dituduh atas kesalahan persatuan jenayah berunsur mafia, pengedaran dadah, pemerasan dan pemilikan dadah untuk tujuan pengedaran.


Pihak berkuasa turut membongkar kaedah kumpulan itu yang menggunakan sistem "keusahawanan" dengan menempatkan individu secara bergilir-gilir bagi menjalankan kegiatan haram.


Wang yang dirampas akan dimasukkan ke dalam "Tabung Keadilan" negara bagi menyokong mangsa jenayah terancang. Bagaimanapun, Gratteri berseloroh bahawa sebahagian wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk menampung kos pemintasan talian.


"Saya terfikir apabila menteri mahu mengurangkan pemintasan talian bagi menjimatkan wang. Namun dengan 3.2 juta euro (kira-kira RM14.94 juta) yang ditemukan hari ini dan akan disalurkan terus ke Tabung Keadilan, kami sudah membayar kos pemintasan talian selama sembilan tahun di Napoli sahaja. Kami perlu menjalankan beberapa lagi operasi seperti ini," katanya.


Serbuan itu berlaku ketika kerajaan memperkenalkan "Model Caivano" pada 2023 bagi memulihkan bandar berkenaan dan mencegah jenayah. Namun, selepas penahanan itu, beberapa ahli pembangkang menyifatkan perkembangan berkenaan sebagai kegagalan inisiatif itu termasuk Ahli Parlimen Francesco Borrelli yang berkata realiti siasatan menunjukkan keadaan berbeza daripada dakwaan kemenangan muktamad terhadap jenayah terancang.

Ahad, 20 September 2026

Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India

Penempatan diroboh, ratusan keluarga Rohingya hilang tempat tinggal di India


Ratusan keluarga Rohingya berdepan kehilangan tempat tinggal selepas diarahkan mengosongkan penempatan sementara di kawasan Karyani Talab, Narwal di Jammu, India.


Penduduk dilihat merobohkan pondok, struktur kayu dan kedai serta mengemas barangan selepas pemilik tanah meminta mereka meninggalkan kawasan berkenaan susulan notis pihak berkuasa.


Seorang anggota komuniti Rohingya mendakwa, kira-kira 350 hingga 500 keluarga yang menghuni sekitar 80 hingga 90 pondok sementara telah diminta berpindah.


Sebahagian daripada mereka dikatakan sudah menetap di kawasan itu antara 15 hingga 16 tahun.


Menurut penduduk, notis tersebut dikeluarkan kepada pemilik tanah yang menyewakan tapak kepada keluarga Rohingya.


Notis berkenaan dilaporkan mempersoalkan tindakan pemilik tanah membenarkan warga asing menetap di kawasan itu selain mendakwa tanah tersebut diperuntukkan bagi kegunaan pertanian dan tidak boleh disewakan untuk tujuan kediaman.


Rohingya Human Rights Initiative pula mendakwa, kira-kira 350 tempat perlindungan telah dirobohkan, menjejaskan hampir 1,800 individu.


Kumpulan itu mendakwa keluarga terbabit tidak diberikan penempatan alternatif yang selamat dan sesuai, menyebabkan sebahagian mereka mempertimbangkan untuk berpindah ke kawasan lain di India termasuk Hyderabad atau ke Bangladesh.


Data kerajaan yang dibentangkan kepada sebuah jawatankuasa peringkat tinggi menunjukkan seramai 7,656 Rohingya dikenal pasti di seluruh Jammu dan Kashmir, termasuk 6,737 di wilayah Jammu dan 919 di Lembah Kashmir.


Rohingya Human Rights Initiative kini menggesa pihak berkuasa dan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan pengusiran lanjut sehingga kesan kemanusiaannya dinilai serta menyediakan penempatan alternatif kepada keluarga terjejas.


Bagi keluarga yang kehilangan kediaman, persoalan utama kini ialah ke mana mereka harus pergi selepas tempat yang menjadi kediaman selama bertahun-tahun tidak lagi dapat diduduki.

Rabu, 16 September 2026

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

Wanita didakwa simbah sebaldi najis manusia ke arah jiran kerana cemburu

 

Hanya kerana cemburu, seorang wanita didakwa sanggup membawa baldi berisi najis manusia sebelum menyimbah kandungannya ke arah jirannya, lapor Benin Web TV.


Suspek, Yirsi Esperanza Machado Rivera, 50, ditahan selepas kejadian pada 7 September dan berdepan pertuduhan menceroboh kediaman berpenghuni serta mendatangkan kecederaan.


Berdasarkan laporan penahanan yang dipetik NBC Miami dan People, kedua-dua wanita berkenaan tinggal di unit bersebelahan dalam treler rumah di Royal Country Mobile Homes, bahagian barat laut Miami-Dade County.


Machado Rivera didakwa mengetuk pintu rumah jirannya sebelum menuduh mangsa mempunyai hubungan sulit dengan suaminya.


Suspek kemudian didakwa menceroboh masuk ke kediaman berkenaan tanpa kebenaran sebelum menolak penghuni terbabit.


Penyiasat mendakwa Machado Rivera selepas itu menyimbah kandungan baldi berkenaan ke arah mangsa. Seorang saksi dilaporkan memberitahu polis bahawa suspek menyatakan dia menyediakan bekas itu untuk menyimbah kandungannya ke muka mangsa.


Bagaimanapun, Machado Rivera menafikan dakwaan berkenaan ketika disoal siasat dengan mendakwa menggunakan baldi itu kerana tandas rumahnya rosak dan cuba membuang kandungannya selepas menerima aduan mengenai bau busuk.


Suspek turut menafikan menceroboh rumah jirannya atau menyimbah kandungan baldi itu ke arah mangsa selain mendakwa kepalanya dipukul menggunakan kayu pemukul ketika pertengkaran berlaku.


Machado Rivera dihadapkan ke hadapan Hakim Mindy Glazer pada 8 September sebelum majistret memerintahkan dia ditahan tanpa jamin serta melarang sebarang hubungan dengan pengadu.


Machado Rivera masih berada dalam tahanan sehingga 13 September di Pusat Tahanan Turner Guilford Knight, menurut rekod dalam talian yang disemak People.


Semua dakwaan terhadapnya masih berupa pertuduhan dan tidak membuktikan kesalahannya, manakala suspek dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

Selasa, 15 September 2026

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah

Pemburu haram mati tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah


Nasib seorang suspek pemburu haram berakhir dengan tragedi apabila dia dipercayai tersepit di tengah-tengah sekumpulan gajah di Taman Negara Kruger di Afrika Selatan, lapor Independent Online (IOL).


Jurucakap Taman Negara Afrika Selatan (SANParks) JP Louw berkata, lelaki berkenaan ditemukan meninggal dunia di kawasan semak pada hujung minggu lalu, kira-kira enam kilometer dari kawasan pintu masuk taman negara itu.


Katanya, penemuan itu dibuat selepas kedua-dua lelaki terbabit menceroboh masuk ke Kruger secara haram melalui kawasan Pafuri di bahagian utara taman berkenaan pada Jumaat.


Mereka kemudian berjalan masuk ke kawasan sekumpulan gajah berkenaan sebelum kedua-duanya melarikan diri ke arah berbeza dan terpisah.


Lelaki yang terselamat berjaya keluar dari taman berkenaan dan pulang ke rumah sebelum memaklumkan rakan subahatnya hilang serta dia ada terdengar jeritan mangsa.


Louw berkata, perkara itu kemudian dilaporkan kepada polis sebelum lelaki terbabit ditahan dengan bantuan masyarakat tempatan.


Katanya, suspek mengaku menceroboh taman itu secara haram dan membawa renjer dari pos renjer Pafuri kembali ke lokasi mereka terpisah.


"Renjer mengikut jejak dari Sungai Luvuvhu sejauh kira-kira enam kilometer ke dalam taman," katanya.


Mayat lelaki berkenaan kemudian ditemukan terbaring di penghujung laluan itu.


Louw berkata, renjer turut menemukan rangka seekor seladang ketika pencarian yang dipercayai SANParks dibunuh oleh kedua-dua lelaki terbabit.


Katanya, polis akan meneruskan siasatan termasuk pemeriksaan forensik bagi mengenal pasti punca kematian lelaki berkenaan.

Ahad, 6 September 2026

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

Dua beradik maut selepas keluarga pilih rawatan mistik untuk rawat demam panas

(Foto Ilustrasi)

Dua beradik lelaki meninggal dunia selepas keluarga mereka dipercayai memilih rawatan mistik bagi mengubati demam panas yang dialami sebelum keadaan mereka semakin kritikal dan dikejarkan ke hospital.


India Today melaporkan kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 dan 10 tahun mengalami demam bersama ibu mereka, Sangeeta Devi, kira-kira tiga hingga empat hari lalu.


Bagaimanapun, keluarga berkenaan dipercayai menganggap penyakit itu berpunca daripada kuasa ghaib dan mendapatkan khidmat seorang pengamal ritual tantrik untuk menjalankan upacara serta bacaan mantera di rumah.


Rawatan berkenaan dilaporkan dilakukan selama tiga hari, namun keadaan ketiga-tiga mereka terus merosot.


Apabila dua beradik itu tidak sedarkan diri, keluarga segera membawa mereka ke Hospital Sadar Ramgarh sebelum doktor mengesahkan kedua-duanya meninggal dunia.


Sementara itu, keadaan ibu mereka turut kritikal dan Sangeeta dirujuk ke Rajendra Institute of Medical Sciences (RIMS), Ranchi untuk mendapatkan rawatan lanjut.


Punca sebenar penyakit yang menyebabkan tiga anggota keluarga itu jatuh sakit masih belum dikenal pasti.


Susulan kejadian itu, Pegawai Pembangunan Blok Patratu, Manoj Gupta, mengunjungi kampung berkenaan dan menemui keluarga mangsa.


Beliau memberi jaminan bantuan kepada keluarga berkenaan selain memaklumkan usaha akan dilakukan bagi menyediakan pampasan mengikut peraturan kerajaan.


Dalam pada itu, pasukan Jabatan Kejuruteraan Kesihatan Awam turut mengambil sampel air daripada pam tangan berhampiran selepas tiga anggota keluarga itu jatuh sakit pada waktu hampir sama.


Sampel berkenaan akan diperiksa bagi menentukan sama ada pencemaran air atau jangkitan mempunyai kaitan dengan kejadian itu.