Jumaat, 20 Februari 2026

Salah faham jadi punca harga roti canai RM120


Salah faham dipercayai menjadi punca sebuah restoran nasi kandar di Dataran Centrio, di Seremban, didakwa mengenakan harga sehingga RM120 kepada seorang pelanggan sehingga kejadian itu tular, Ahad lalu.


Wakil restoran berkenaan, Emir Yusran Abdul Jabar, 35, berkata pada hari kejadian pelanggan berkenaan datang membungkus roti canai selain terdapat beberapa pekerjanya yang sedang makan di meja lain.


"Saya difahamkan pelanggan meminta pekerja supaya mengira harga makanan di semua meja di bahagian luar restoran. Di kawasan itu terdapat tujuh meja semuanya.


"Selepas kira, jumlah semua RM120 dan pelanggan beri RM150 sebelum pekerja pulangkan baki RM30 berserta resit. Tidak lama kemudian pelanggan itu minta kira semula untuk dua meja sahaja termasuk makanan dibungkusnya," katanya ketika ditemui.


Jelasnya, berlaku salah faham apabila pelanggan berkenaan meminta untuk kira harga makanan di 'semua' meja selain penjaga kaunter juga adalah pekerja asing yang mungkin berlaku salah komunikasi.


"Pelanggan itu minta kira semula dan jumlah harga sekitar RM70, kami pulangkan semula duitnya. Sebelum itu kami siapkan sertakan resit. Kalau betul kami nak tipu, buat apa bagi resit.


"Kami sudah beroperasi di sini sejak 2019 dan tidak pernah berlaku insiden seperti ini. Apabila ia tular seperti ini, ada pelanggan tetap yang hubungi dan bertanya mengenai kejadian ini," katanya.


Jelasnya lagi, pihaknya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pelanggan berkenaan sekiranya perniagaan restoran itu terjejas dengan video yang tular.


"Buat masa ini kami tidak nampak impaknya lagi kerana kebanyakan pelanggan kami adalah pelanggan tetap. Difahamkan pelanggan yang menularkan video itu adalah orang luar yang hanya datang ketika ada acara di Dataran Centrio.


"Saya juga memuji tindakan pantas pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Sembilan yang pantas turun padang melakukan siasatan yang mana sedikit sebanyak mengurangkan impak kepada perniagaan kami," katanya.


Sementara itu, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, S Veerapan berkata, KPDN mengambil inisiatif sendiri turun padang menyiasat kes itu.


"Pelanggan berkenaan sehingga hari ini tidak membuat aduan rasmi kepada pihak kami. Selepas video tular, pihak KPDN sendiri ke lokasi dan menjalankan siasatan.


"Hasilnya mendapati berlaku salah faham mungkin disebabkan 'miscommunication.' Restoran itu juga mempunyai harga makanan pada buku menu dan ia sama pada sistem di kaunter.


"Jadi, saya nasihatkan kepada pengguna supaya buat aduan rasmi kepada KPDN melalui pelbagai medium yang disediakan dan bukannya menularkannya terlebih dahulu," katanya.


Sebelum ini media melaporkan seorang lelaki tidak berpuas hati selepas mendakwa dia 'disembelih' sebuah restoran nasi kandar di Dataran Centrio.


Menerusi video berdurasi 5 minit 38 saat, lelaki berkenaan mendakwa dia pada mulanya dikenakan bayaran RM120 bagi makanan dan minuman termasuk kakitangannya di dua meja berasingan.


Emir Yusran menunjukkan menu dengan harga makanan. - Foto Ahmad Hasbi.


EmoticonEmoticon