Selasa, 17 Februari 2026

Lima sekeluarga maut di Kuantan: Suspek dipercayai bunuh isteri, ibu dan dua anak - Polis


Tindakan seorang lelaki yang dipercayai hilang kawalan membawa kepada penemuan lima mayat dalam satu kejadian tragis di sebuah rumah di Taman Cerating Damai, Kuantan pagi tadi.


Suspek berusia 32 tahun itu dipercayai mencederakan isteri, ibu kandung dan dua anak perempuannya sehingga maut, sebelum dia turut mencederakan diri sendiri serta ditemui meninggal dunia di lokasi kejadian.


Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu mengorbankan seorang wanita berusia 55 tahun, menantu berusia 28 tahun serta dua cucu perempuan masing-masing berusia tiga dan empat tahun.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden berkenaan daripada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang juga ahli keluarga dan tinggal di rumah tersebut.


Menurut beliau, ketika kejadian terdapat enam individu berada di kediaman itu, namun remaja terbabit tidak mengalami kecederaan selepas menyedari berlaku kekecohan.


"Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati suspek bersama isterinya dan dua kanak-kanak ditemui dalam sebuah bilik, manakala ibu suspek dijumpai di bahagian dapur.


"Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kelar di beberapa bahagian badan setiap mangsa yang dipercayai akibat objek tajam.


"Punca sebenar kematian masih menunggu laporan bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon