Memaparkan catatan dengan label Pembunuhan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pembunuhan. Papar semua catatan

Ahad, 13 September 2026

Niat memancing bertukar ngeri, tiga lelaki jumpa rangka manusia disimen dalam tong

Niat memancing bertukar ngeri, tiga lelaki jumpa rangka manusia disimen dalam tong


Sebuah tong dipercayai berisi rangka manusia ditemukan di kawasan cerun berhampiran Kolam Takungan Air Machap, Alor Gajah, hari ini.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, tong berwarna biru berkenaan ditemukan tiga individu berusia 25 hingga 35 tahun ketika memancing di kolam takungan itu kira-kira 11.40 pagi.


"Curiga dengan penemuan tong tersebut, kumpulan pemancing berkenaan memotong sedikit bahagian atas tong berkenaan sebelum menemukan tulang yang disimen di dalam tong tersebut.


"Kumpulan pemancing tersebut kemudiannya membuat laporan polis dan pihak kami tiba di lokasi kira-kira 12 tengah hari," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, hari ini.


Ahmad berkata, siasatan awal mendapati rangka berkenaan telah mereput dan dianggarkan sudah melebihi tiga minggu.


Beliau berkata, pihaknya kemudian memohon bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk mengangkat tong berkenaan yang berada di dalam cerun di pinggir jalan itu.


"Rangka itu dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengenal pasti jantina serta identiti mangsa.


"Saya memohon jika ada pihak yang kehilangan anggota keluarga agar tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut," katanya.


Ahmad berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkan kepada balai polis terdekat.

Sabtu, 12 September 2026

Selisih faham, tekanan selepas bercerai dipercayai punca ibu kandung maut ditikam

Selisih faham, tekanan selepas bercerai dipercayai punca ibu kandung maut ditikam


Perselisihan faham antara dua beranak serta tekanan selepas bercerai dipercayai menjadi punca seorang wanita ditikam di bahagian perut sebelum dilaporkan maut dalam kejadian di Kampung Katagayan, Tambunan, semalam.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun dipercayai berdepan tekanan selepas baru bercerai.


"Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham dan suspek menghadapi tekanan disebabkan baru bercerai.


"Dalam kejadian itu, suspek menggunakan senjata jenis pisau sehingga menyebabkan ibunya cedera di bahagian perut," katanya ketika dihubungi hari ini.


Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai punca kejadian dan senjata yang digunakan sehingga mencederakan mangsa berusia 56 tahun yang juga ibu kandung suspek.



Sebelum itu, lelaki terbabit ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian ibunya yang ditemukan mengalami kecederaan di sebuah rumah sewa.


Polis menerima laporan berhubung kematian wanita itu kira-kira jam 2 petang.


Suspek kemudiannya berjaya ditahan oleh penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung, Tambunan, sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan.


Beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas, manakala mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Misteri dua beradik hilang lima tahun terungkai, rangka ditemui dalam rumah kosong

Misteri dua beradik hilang lima tahun terungkai, rangka ditemui dalam rumah kosong


Misteri kehilangan dua beradik perempuan sejak lima tahun lalu akhirnya terungkai selepas rangka manusia ditemui di sebuah rumah kosong di Banyuasin, Sumatera Selatan, Indonesia.


Kedua-dua mangsa dikenali sebagai RN, 18, dan adiknya, AY, 14, yang dilaporkan hilang sejak 27 Oktober 2021.


Polis mengesyaki kedua-dua remaja itu menjadi mangsa serangan seksual sebelum dibunuh oleh dua suspek menggunakan senjata tajam.


Ketua Polis Talang Kelapa, Asisten Komisioner Polis (AKP) Mukhis berkata, pada hari kejadian, kedua-dua mangsa meninggalkan rumah kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan untuk ke sekolah dengan menaiki motosikal.


Selepas tamat sesi persekolahan, RN dilaporkan merancang untuk bertemu Rendi Saputra, 28, yang disebut sebagai teman lelakinya.


RN kemudian pergi bersama adiknya untuk menemui lelaki berkenaan di kawasan Perumahan Amanah, Keramat Raya, Talang Kelapa.



Menurut polis, kedua-dua mangsa dipercayai diserang secara seksual sebelum dibunuh menggunakan senjata tajam. Mayat mereka kemudian didakwa ditinggalkan di lokasi kejadian.


Keluarga mangsa terus berusaha mencari kedua-dua beradik itu sepanjang tempoh lima tahun, namun gagal memperoleh petunjuk mengenai keberadaan mereka.


Misteri tersebut akhirnya mula terungkai apabila seorang buruh berusia 56 tahun menemukan sesuatu yang mencurigakan iaitu rangka motosikal dalam parit kering ketika mengumpulkan kayu gelam berhampiran lokasi baru-baru ini.


Berdekatannya ada satu rumah terbiar. Penemuan itu membawa kepada rangka manusia di sebuah rumah kosong di kawasan Perumahan Amanah.


Polis kemudian menjalankan siasatan yang mengaitkan penemuan tersebut dengan kehilangan RN dan AY sejak 2021.


Siasatan turut membawa kepada dakwaan bahawa dua suspek terlibat dalam kejadian berkenaan.


Bagaimanapun, laporan asal yang diberikan tidak memperincikan identiti suspek kedua, status penahanan kedua-dua suspek atau hasil pemeriksaan forensik yang mengesahkan identiti setiap rangka berkenaan.

Rabu, 9 September 2026

Dituduh malas bekerja, lelaki bunuh satu keluarga termasuk kanak-kanak 2 tahun

Dituduh malas bekerja, lelaki bunuh satu keluarga termasuk kanak-kanak 2 tahun


Gara-gara berdendam selepas sering dituduh malas bekerja, seorang lelaki dipercayai membunuh rakan sekerjanya bersama isteri dan anak mereka yang baru berusia dua tahun di Palu, Sulawesi Tengah, Indonesia.


Kejadian berlaku di sebuah premis pemotongan ayam di Jalan PDAM, Kelurahan Duyu, Kecamatan Tatanga pada malam 26 Julai lalu.


Mangsa, Jamil, 32, bersama anaknya, Rizki, 2, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya, Nurhanisa, 32, dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal.


Bagaimanapun, Nurhanisa meninggal dunia pada 5 Ogos selepas 10 hari menerima rawatan susulan kecederaan parah dialaminya.


Menurut keluarganya, mangsa mengalami kecederaan pada beberapa organ dalaman serta pendarahan serius.


Polis mengenal pasti suspek sebagai Aan Kurniawan, 31, yang bekerja bersama Jamil di premis pemotongan ayam berkenaan.


Sebelum kejadian, jiran dilaporkan terdengar bunyi pertengkaran sekitar jam 10 malam selain ancaman yang dipercayai ditujukan kepada Nurhanisa.


Jamil maut akibat kecederaan tikaman, manakala polis mengesyaki anaknya meninggal dunia selepas dipercayai dibekap atau dihentak dengan objek.


Nurhanisa yang turut ditikam sempat meminta pertolongan daripada jiran sebelum dibawa ke hospital.


Selepas kejadian, Aan melarikan diri dan bersembunyi selama kira-kira sebulan di sebuah pondok sekitar kawasan likuefaksi Balaroa.


Dia akhirnya ditahan tanpa perlawanan di kediaman keluarganya di Kecamatan Palu Barat pada 26 Ogos selepas meminta keluarganya menghubungi polis kerana mahu menyerah diri.


Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.


Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Palu, Ismail Boby, siasatan mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan sakit hati suspek terhadap Jamil.


Suspek mendakwa mangsa sering mengatakan dia malas bekerja selain dia turut diberhentikan daripada pekerjaannya.


Aan kemudian menjalani lakon semula di lokasi kejadian sehari selepas ditahan bagi membantu penyiasat mendapatkan gambaran mengenai kronologi serangan.


Suspek kini ditahan dan berdepan beberapa pertuduhan mengikut undang-undang Indonesia berhubung kematian tiga mangsa berkenaan.

Kes rempuh Myvi guna Toyota Vellfire di Kulai: Seorang didakwa bunuh, dua cubaan membunuh

Kes rempuh Myvi guna Toyota Vellfire di Kulai: Seorang didakwa bunuh, dua cubaan membunuh


Kes kemalangan yang mengorbankan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di Kulai bulan lalu memasuki perkembangan mengejutkan apabila seorang suspek akan didakwa atas tuduhan membunuh, manakala dua lagi atas kesalahan cubaan membunuh.


Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, seramai 21 suspek ditahan, terdiri daripada 20 lelaki dan seorang wanita berusia antara 15 hingga 31 tahun, dalam beberapa operasi di Johor Bahru, Kulai dan Selangor.


Katanya, kesemua suspek dijangka didakwa di Mahkamah Majistret Kulai hari ini.


"Seorang suspek akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh, manakala dua lagi berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 307 atas kesalahan cubaan membunuh dan empat lagi mengikut Seksyen 426 atas kesalahan khianat.


"Seramai 14 suspek yang lain akan menjadi saksi pendakwaan dan dibebaskan dengan jaminan mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya, hari ini.


Rahaman berkata, seramai 14 daripada 21 suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian air kencing awal terhadap kesemua suspek didapati negatif.


Katanya, polis melengkapkan kertas siasatan dan merujuknya kepada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor Isnin lalu, sebelum arahan untuk pertuduhan dikeluarkan semalam.


Dalam kejadian jam 12.38 tengah malam pada 25 Ogos lalu, mangsa berusia 17 tahun yang sudah tidak bersekolah maut dalam kemalangan di Lingkaran Bulatan Persiaran Indahpura 4, Kulai.


Mangsa ketika itu menaiki sebuah Perodua Myvi bersama empat rakannya selepas makan malam apabila beberapa kenderaan dipercayai mula mengekori mereka.


Polis sebelum ini memaklumkan sebuah Toyota Vellfire berwarna hitam dipercayai merempuh Perodua Myvi di bulatan terbabit, menyebabkan mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan tercampak keluar dari kenderaan.


Mangsa dipercayai dilanggar oleh Vellfire berkenaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Kes itu pada mulanya disiasat sebagai kemalangan jalan raya sebelum diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan siasatan polis serta keterangan yang diperoleh daripada suspek.


Dalam siasatan berkenaan, polis turut merampas sebuah Toyota Vellfire, Kia Forte, Toyota Hilux, 12 telefon bimbit dan dua batang besi, termasuk baton serta kayu besbol.


Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan konflik antara dua kumpulan kongsi gelap yang aktif di sekitar Johor Bahru.

Isnin, 7 September 2026

Abang, adik antara empat berdepan hukuman mati, didakwa bunuh lelaki di ladang kelapa sawit

Abang, adik antara empat berdepan hukuman mati, didakwa bunuh lelaki di ladang kelapa sawit


Empat lelaki termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di kawasan ladang kelapa sawit, bulan lalu.


Tertuduh, Mohamad Bakri Mahidin, 37, dan adiknya, Muhamadariff, 26, serta Mohamad Iekram Mohd. Zaki, 29, dan Mohd. Firdaus Che Mustafa, 36, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.


Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama membunuh Mohd. Badaruddin Md. Nayan, 30, di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Division, Sungai Petani antara pukul 1.30 tengah hari hingga 3 petang, 23 Ogos lalu.


Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Mohd. Noor, manakala peguam Durratul ’Ain Mahmud Morshidi bertindak sebagai amicus curiae bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai keperluan perubatan dua tertuduh.


Menurut beliau, Mohamad Iekram merupakan pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal dan mengalami kecederaan pada kaki kanan akibat kemalangan, manakala Mohamad Bakri menghidap asma.


Beliau berkata, kedua-dua tertuduh memerlukan perhatian dari sudut perubatan bagi menghadapi perbicaraan kes berkenaan yang dijangka berlarutan untuk tempoh lama.


Majistret Noor Farah Hazwani kemudian memaklumkan keperluan perubatan kedua-dua tertuduh akan diuruskan pihak penjara.


Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap kesemua tertuduh dan menetapkan 15 November depan tarikh sebutan semula kes.


Sebelum ini, media melaporkan penemuan mayat seorang lelaki berusia lingkungan 30-an disyaki dibunuh di Kampung Sungai Division, kira-kira pukul 6.55 petang pada 23 Ogos lalu.

Isnin, 31 Ogos 2026

Lelaki ditemui parah tepi jalan di Kajang, empat individu ditahan cuba membunuh

Lelaki ditemui parah tepi jalan di Kajang, empat individu ditahan cuba membunuh


Empat individu ditahan susulan penemuan seorang lelaki tempatan dalam keadaan cedera parah dan berlumuran darah di tepi jalan Taman West Country di Kajang pada Sabtu.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, mangsa berusia 26 tahun cedera dipercayai akibat serangan menggunakan senjata tajam oleh beberapa individu yang dikenalinya.


"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang menjalankan gerakan untuk mengesan suspek.


"Polis berjaya menahan empat suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 30-an di sekitar daerah ini malam semalam dan awal pagi hari ini (Ahad).


"Mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Menurutnya, kesemua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan dadah, serta direman empat hari bermula semalam.


Katanya, ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.


Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek terbabit negatif dadah manakala seorang positif metamfetamin.


"Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan membawa senjata atau sesuatu yang boleh digunakan sebagai senjata.


"Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh badan," katanya.


Naazron berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan mengesan individu lain yang mungkin mempunyai kaitan dengan kejadian ini.

Wanita diculik, dirogol, dibunuh kemudian dibuang dalam perigi, 4 suspek ditahan

Wanita diculik, dirogol, dibunuh kemudian dibuang dalam perigi, 4 suspek ditahan


Seorang wanita berusia 21 tahun di Karnataka, India dipercayai diculik, dirogol dan dibunuh selepas keluar dari rumah sebelum mayatnya ditemukan di dalam sebuah perigi di kawasan pertanian.


Kejadian berlaku di kampung Hokrani, daerah Raichur kira-kira jam 7 malam waktu tempatan pada 19 Ogos lalu, menurut laporan polis yang dibuat oleh bapa mangsa, Thimmareddy.


Mangsa yang dikenali sebagai Ashwini baru pulang ke rumah bersama ibu bapanya sekitar jam 6 petang waktu tempatan selepas mereka

 bekerja di ladang.


Menurut laporan polis, Ashwini yang sudah menamatkan pengajian Ijazah sarjana muda kemudian mengadu sakit perut sebelum keluar membawa bekas air untuk membuang air di kawasan tanah kerajaan berhampiran rumah.


Namun, dia tidak kembali. Ibunya yang keluar mencari kemudian menemukan selipar dan bekas air milik Ashwini di kawasan berhampiran.


Keluarga mangsa meneruskan pencarian sepanjang malam sebelum menerima maklumat keesokan paginya bahawa satu mayat ditemukan di dalam sebuah perigi. Ahli keluarga yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan mayat tersebut ialah Ashwini.


Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan tanpa pakaian dan tertiarap di dalam perigi, manakala wajahnya mengalami kecederaan termasuk luka pada bahagian bibir atas.


Polis menamakan empat suspek dalam laporan kes berkenaan iaitu Gundya, 22; Mahanthesh, 22; Veeresh, 23; dan Mundargi Basawaraj yang berusia sekitar 45 tahun.


Kesemua mereka merupakan penduduk kampung yang sama dengan mangsa. Empat suspek itu kini ditahan bagi membantu siasatan.


Menurut polis, seorang daripada suspek didakwa sudah mengaku terlibat dalam jenayah tersebut dan akan dibawa ke mahkamah.


Pihak berkuasa masih menyiasat keadaan sebenar yang membawa kepada kematian Ashwini. Mangsa dilaporkan baru bertunang kira-kira sebulan sebelum kejadian.

Khamis, 27 Ogos 2026

Rebut kawasan kongsi gelap punca serangan maut di Shah Alam, setakat ini 11 individu ditahan

Rebut kawasan kongsi gelap punca serangan maut di Shah Alam, setakat ini 11 individu ditahan


Dua kumpulan kongsi gelap berebut kawasan perniagaan dipercayai motif kes pergaduhan dan tetakan hingga seorang maut di Jalan Mandolin 33/5 Taman Alam Megah di Shah Alam.


Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, setakat ini seramai 11 individu berusia lingkungan awal 20 hingga 30-an membabitkan dua kumpulan terbabit ditahan.


Menurutnya, lima daripada suspek telah direman tujuh hari, manakala enam lagi dalam proses permohonan reman di mahkamah.


"Kita juga telah merakam keterangan saksi-saksi kejadian serta pihak berkaitan untuk membantu siasatan.


"Berdasarkan siasatan, motif berkaitan perebutan kawasan membabitkan beberapa aktiviti perniagaan antara dua kumpulan kongsi gelap yang beroperasi di sekitar Shah Alam. Kita sedang lihat apa aspek perniagaan terbabit," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.



Beliau berkata, terdapat beberapa lagi individu yang masih diburu dan telah dikenal pasti butirannya.


Tambahnya, pihak polis juga sedang menyiasat latar belakang kumpulan terbabit di mana salah satu kumpulan itu baru ditubuhkan.


"Kes pergaduhan ini menyebabkan seorang maut dan tiga masih lagi menerima rawatan di hospital," katanya.


Sebelum itu, media melaporkan kejadian gaduh dan tetak itu berlaku kira-kira jam 2 petang, Selasa lalu di atas jalan raya.


Kejadian yang tular di media sosial itu turut memaparkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza berwarna biru telah melanggar salah seorang daripada suspek sehingga menyebabkan kematian ditempat kejadian.


Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Rabu, 26 Ogos 2026

Bunuh guna besi dalam pergaduhan 6 tahun lalu, lelaki dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan

Bunuh guna besi dalam pergaduhan 6 tahun lalu, lelaki dihukum penjara 30 tahun, 12 sebatan


Seorang bekas pekerja kedai telefon bimbit dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Muar, hari ini, kerana membunuh seorang lelaki dengan menggunakan besi dalam satu pergaduhan, enam tahun lalu.


Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Yew Lung, 32, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.


Meor Hashimi berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan hujahan bertulis dan lisan daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.


"Mahkamah turut mempertimbangkan serta membuat penilaian maksimum terhadap keterangan dan kredibiliti saksi pembelaan (SP), iaitu tertuduh (selaku SP1), SP2 dan SP3, mengikut kehendak Seksyen 182(a) Kanun Prosedur Jenayah.


"Mahkamah berpuas hati bahawa pembelaan tertuduh dan SP2 serta SP3 gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.


"Pembelaan tertuduh, SP2 dan SP3 tidak boleh dipercayai atau tidak diterima oleh mahkamah ini. Malah, pembelaan tertuduh dan keterangan SP2 serta SP3 juga gagal membangkitkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes ini.


"Semua intipati atau elemen pertuduhan berjaya dibuktikan melampaui keraguan munasabah oleh pihak pendakwaan," katanya ketika membacakan keputusan beliau.


Meor Hashimi berkata, secara keseluruhan di akhir kes pembelaan, mahkamah berpuas hati serta mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.


"Oleh itu, tertuduh didapati bersalah serta disabitkan kesalahan, dan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun bermula dari tarikh tangkap (29 Januari 2020) serta 12 sebatan.


"Mahkamah memerintahkan semua ekshibit kes ini diserahkan kepada pihak polis bagi tujuan pelupusan selepas tamat tempoh rayuan," katanya.


Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, R K Balakrishnan.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Tsun Chin Kiang, 43, di sebuah kedai menjual peralatan telefon di Jalan Perwira 1, Taman Perwira, Muar, antara jam 1.41 hingga 4.15 pagi 29 Januari 2020.


Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun berserta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan fakta kes, mangsa berada di kedai telefon berkenaan sebelum tercetus pergaduhan dengan tertuduh.


Kejadian itu menyebabkan mangsa parah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru. Namun selepas empat hari menerima rawatan, mangsa disahkan meninggal dunia.

Selasa, 25 Ogos 2026

Polis sahkan lelaki maut dilanggar selepas insiden pergaduhan, tetak di Shah Alam

Polis sahkan lelaki maut dilanggar selepas insiden pergaduhan, tetak di Shah Alam


Lelaki maut selepas dilanggar kenderaan dalam insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di Jalan Mandolin 33/5, Taman Alam Megah, Shah Alam.


Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada orang awam dan siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira 2 petang.


"Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati terdapat sekumpulan lelaki bergaduh sehingga berlaku kejadian tetakan antara mereka.


"Sebuah kenderaan jenis Perodua Alza kemudian dipercayai melanggar salah seorang suspek sehingga menyebabkan kematian di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Sarudin berkata, susulan kejadian Pasukan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah memburu suspek dan berjaya menahan seorang lelaki.


Katanya, kertas siasatan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.


"Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran," katanya.


Terdahulu, insiden berkenaan tular di media sosial selepas rakaman kamera papan pemuka menunjukkan terdapat sekumpulan individu dilihat meluru keluar dari kenderaan sebelum menyerang seorang lelaki yang terbaring di atas jalan.


Sebuah lagi kereta pula dilihat membuat pusingan dan melanggar seorang individu sebelum beberapa individu lain menyerangnya.

Mayat wanita 62 tahun ditemui mereput dalam tandas, tangan diikat dan kepala ditutup kain

Mayat wanita 62 tahun ditemui mereput dalam tandas, tangan diikat dan kepala ditutup kain


Seorang wanita warga emas dipercayai dibunuh sebelum mayatnya yang sudah mereput ditemukan dalam tandas sebuah rumah kayu dua tingkat di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan pada Selasa lalu.


Kejadian itu terbongkar selepas bau busuk dari sebuah rumah kayu dua tingkat membawa kepada penemuan mayat mangsa berusia 62 tahun dalam keadaan mereput di dalam tandas.


Kedua-dua tangan mangsa ditemukan diikat ke belakang, manakala kepalanya ditutup menggunakan kain dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.


Susulan penemuan itu, polis menahan 10 individu termasuk dua suspek utama dalam tempoh kurang 24 jam bagi membantu siasatan.


Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung bau busuk dari rumah berkenaan.


"Penemuan itu dibuat selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam berhubung bau busuk yang datang dari rumah berkenaan.


"Mayat mangsa ketika ditemukan sudah mereput dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum itu," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, siasatan mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah berkenaan.


Katanya, 10 individu yang ditahan terdiri daripada lima lelaki dan lima perempuan berusia antara 10 hingga 39 tahun.


Daripada jumlah itu, tiga merupakan warga Filipina manakala tujuh lagi warga tempatan dan kesemuanya mempunyai hubungan kekeluargaan.


George berkata, hasil soal siasat mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan mengenai bayaran kerja pengubahsuaian rumah mangsa.


"Suspek juga dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa menaikkan kadar sewa bulanan rumah yang didiami mereka.


"Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta beberapa barangan peribadi milik mangsa yang dilarikan suspek," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Lokasi kejadian wanita warga emas dibunuh dalam sebuah rumah di di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan.

Sabtu, 22 Ogos 2026

Remaja hilang ditemui mati dibunuh, alat sulit dibuang dalam kolam

Remaja hilang ditemui mati dibunuh, alat sulit dibuang dalam kolam


Pihak berkuasa berjaya membongkar kes pembunuhan seorang remaja di India yang didakwa berkait perdagangan organ, namun kini berdepan cabaran menjejaki alat sulit mangsa yang dipotong suspek dan dibuang ke dalam sebuah kolam.


Menurut polis di Bhopal, penemuan bahagian tubuh berkenaan penting sebagai bahan bukti yang boleh mengukuhkan kes di mahkamah.


Bagaimanapun, operasi pencarian berdepan kesukaran berikutan kedalaman kolam dan kewujudan pelbagai hidupan akuatik.


Suspek memberitahu pihak berkuasa, mereka memotong dan mengeluarkan kedua-dua bahagian sulit mangsa sebelum memasukkannya ke dalam beg plastik. Bagaimanapun, mereka gagal mencari pembeli dan terpaksa membuang bungkusan itu ke dalam kolam.


Mangsa dilaporkan hilang beberapa hari sebelum mayatnya dalam keadaan tidak sempurna ditemui di kawasan Chhota Talab pada 11 Ogos lalu.


Siasatan awal menunjukkan wujud konspirasi berkaitan perdagangan organ manusia.


Menurut polis, sekumpulan lelaki membunuh remaja itu, mencacatkan jasadnya dan merancang menghantar bahagian tubuh yang dipotong ke luar negara.


Polis mengesyaki mangsa mungkin diperdaya dengan tawaran sekitar 20 juta rupee (RM845,00), namun motif sebenar masih disiasat.


Pihak berkuasa memaklumkan bahagian tubuh yang dipotong masih belum ditemui walaupun pencarian dilakukan di beberapa lokasi.

Isnin, 17 Ogos 2026

Jumpa mayat dibalut jaring: 4 lelaki didakwa bunuh seorang ahli perniagaan

Jumpa mayat dibalut jaring: 4 lelaki didakwa bunuh seorang ahli perniagaan


Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini atas tuduhan membunuh seorang ahli perniagaan sebelum mayatnya ditemukan terapung dalam jaring, awal bulan ini.


Keempat-empat tertuduh ialah Yogesvaran Subramaniam, 40, Lim Yong Ming, 26, Achuthan Nagarajan, 32, dan How Han Wei, 33.


Yogesvaran yang juga pemandu lori, Yong Ming dan Achuthan pula kelindan lori manakala Han Wei seorang peniaga kenderaan terpakai hanya mengangguk sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.


Namun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memadangkan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.


Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa membunuh Low Kai Xian, 39, antara kedai makan di Jalan Emas Putih, Taman Sri Skudai, Johor Bahru sehingga di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja.



Kejadian itu berlaku pada jam 2.35 petang hingga 12.30 tengah hari, antara 29 Julai hingga 3 Ogos lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.


Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta, jika tidak dihukum mati, dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim. Tertuduh Yogesvaran, Yong Ming dan Han Wei diwakili Datin Fareda Sabapathy manakala Sean Dodley Samuel Jayarajan mewakili Achuthan.


Chuah Shyue Chien dan Kenji Soh Xin Da pula bertindak selaku peguam pemerhati kepada keluarga mangsa.


Tertuduh tiba di perkarangan mahkamah pada jam 8.10 pagi dikawal ketat pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas / Jenayah Berat (D9).


Terdahulu pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru sementara menunggu laporan bedah siasat, laporan asid deoksiribonukleik (DNA), laporan forensik kamera litar tertutup (CCTV) dan forensik telefon bimbit.


Tiada tawaran ikat jamin tiada ikat jamin ditawarkan terhadap kesemua tertuduh. Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan kes disebut semula pada 14 Oktober ini sementara menunggu laporan terbabit.


Sebelum ini, Kai Xian dilaporkan hilang oleh ahli keluarga sejak 29 Julai selepas gagal dihubungi. Pada masa sama, ahli keluarganya hanya menemukan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Johor Bahru.


Bagaimanapun, polis menerima maklumat orang awam mengenai penemuan mayat pada jam 12.30 tengah hari, 3 Ogos lalu.


Hasil siasatan mendapati tangan dan kaki mangsa diikat dengan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan kecederaan di pinggang dan lengan.


Mayat terbabit dibungkus serta dililit dengan jaring. Pemeriksaan turut menemukan lima ketul batu yang diletakkan bersama dalam jaring terbabit.


Motif kejadian masih dalam siasatan namun polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan berpunca daripada hutang.

Ahad, 16 Ogos 2026

Kes mayat ditemukan dibalut jaring: 4 suspek didakwa membunuh di mahkamah esok

Kes mayat ditemukan dibalut jaring: 4 suspek didakwa membunuh di mahkamah esok


Empat suspek lelaki yang sedang direman akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, esok atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan bulan lalu. Keempat-empat suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun bakal berhadapan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata arahan pertuduhan dibuat selepas kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.


Beliau berkata, kertas siasatan sebelum ini sudah lengkap dan diserahkan kepada pihak pendakwaan bagi tindakan selanjutnya.


"Selepas diteliti oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor, arahan pendakwaan dikeluarkan ke atas empat suspek," katanya ketika dihubungi.


Sebelum ini, polis menahan lima suspek susulan penemuan mayat lelaki berusia 39 tahun, terapung dalam keadaan dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, awal bulan ini.


Mayat terbabit ditemukan penduduk yang keluar menjalankan aktiviti harian di sungai terbabit dalam keadaan mengerikan.


Berdasarkan siasatan awal polis, suspek dipercayai membunuh mangsa dengan menjerut leher menggunakan tali.


Suspek kemudian membawa mangsa menaiki sebuah kenderaan sebelum mengikat kedua-dua tangan menggunakan pita pelekat serta membalut jasadnya menggunakan jaring.


Siasatan juga mendapati terdapat lima ketul batu ditemukan pada mayat yang dipercayai digunakan untuk menenggelamkan mangsa sebaik dibunuh.


Mangsa dilaporkan hilang oleh isterinya sejak 29 Julai lalu dan ahli keluarganya hanya menemukan kenderaan pelbagai guna di Johor Bahru.


Semakan rekod jenayah lampau ke atas semua suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah.

Sabtu, 15 Ogos 2026

Tindakan kejar, rempuh pelajar tunjukkan sikap melulu luar biasa tertuduh

Tindakan kejar, rempuh pelajar tunjukkan sikap melulu luar biasa tertuduh


Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam diberitahu tindakan seorang pegawai kanan polis mengejar mangsa pada kelajuan tinggi sebelum merempuhnya dengan sebuah kereta disifatkan sebagai tindakan yang sangat berbahaya dan menunjukkan sikap melulu luar biasa.


Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, berkata tindakan Deputi Superintendan Mohd Nazri Abdul Razak mengejar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dalam jarak dekat dilakukan dengan pengetahuan bahawa perbuatan itu boleh mendatangkan kematian.


Beliau berkata tertuduh dikesan tidak memperlahankan kenderaan Perodua Ativa dipandunya walaupun melalui bonggol di kawasan sekolah sebaliknya terus mengekori rapat sebelum merempuh mangsa di satu persimpangan.


"Tindakan yang dilakukan oleh tertuduh bukan sahaja amat berbahaya malah menunjukkan sikap melulu yang luar biasa, terdapat bukti yang jelas mengenai tindakan sengaja mengejar dan mengekori oleh tertuduh terhadap mangsa yang tidak dikenali, seorang asing, dengan mengekorinya rapat selepas dia keluar dari kawasan sekolah.


"Dan apabila tertuduh mendapat peluang, beliau melanggarnya dari bahagian belakang di simpang dan mangsa tidak tahu sebenarnya seseorang berada di belakangnya begitu dekat, sedang mengejarnya," katanya ketika menggulung hujah di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet, Semalam.


Menjawab isu yang dibangkitkan pihak pembelaan, Afzainizam berkata ketiadaan kesan bunga tayar pada badan mangsa bukan bukti remaja itu tidak digilis sebaliknya keterangan pakar patologi menyatakan bahawa faktor pakaian tebal mungkin melindungi kesan itu.


Menyentuh mengenai data Perakam Data Acara (EDR), beliau berkata maklumat kelajuan dan penggunaan brek kenderaan tertuduh diperoleh menerusi perisian khas oleh pembantu teknikal Perodua yang mengekstraknya tanpa perlu mengeluarkan perkakasan daripada kenderaan bagi mengekalkan integriti laporan analisis.


Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan untuk memutuskan sama ada Mohd Nazri, 46, perlu dipanggil membela diri atas pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17.


Afzainizam dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey manakala Mohd Nazri diwakili peguam Datuk M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid serta Aiman Hakim Kamaruzzaman.


Pegawai kanan polis itu didakwa melakukan kesalahan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di Ipoh antara 11.55 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali.