Ahad, 6 Julai 2025

Anggota bomba selamatkan dua wanita sesat, tak jumpa jalan keluar ketika daki Bukit Broga


Dua wanita berdepan detik cemas apabila tersesat ketika melakukan aktiviti pendakian di Bukit Broga, Semenyih pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9.52 pagi itu, kedua-dua mangsa yang dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an dilaporkan gagal mencari jalan keluar selepas dipercayai tersasar dari trek asal.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih digerakkan ke lokasi.


"Seramai lima anggota termasuk seorang pegawai dengan kekuatan satu jentera dikerahkan ke lokasi dan tiba pada jam 10.02 pagi.


"Setibanya di lokasi, komander operasi dimaklumkan terdapat dua wanita yang tersesat dari laluan asal pendakian," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Ahmad Mukhlis, operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan berdasarkan maklumat awal yang diterima.


"Anggota bomba melakukan pendakian dan pencarian di sekitar kawasan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa dilihat.


"Tidak lama selepas itu, kedua-dua mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan," katanya.


Mangsa kemudiannya dibawa turun ke kaki bukit dengan dibantu anggota bomba bertugas.


Bomba menyelamatkan dua wanita yang tersesat ketika mendaki Bukit Broga selepas tersasar dari landasan pendakian pagi ini. - Foto BOMBA.
This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon