Seorang lelaki di Lombok, Indonesia, menceraikan isterinya hanya beberapa hari selepas majlis perkahwinan apabila mendapati wanita berkenaan menyembunyikan status perkahwinannya yang terdahulu.
Rodi Handika, lelaki berasal dari Dusun Batu Sambak, Desa Montong Tangi, Kecamatan Sakra Timur, melafazkan talak terhadap isterinya, Nurdiana, selepas mengetahui wanita itu pernah berkahwin sebanyak dua kali sebelum ini.
Pasangan tersebut melangsungkan pernikahan pada Isnin, 23 Jun 2025, namun rumah tangga mereka hanya bertahan seketika selepas status sebenar Nurdiana terbongkar semasa kenduri balas di rumah pengantin perempuan iaitu acara adat Nyongkolan satu tradisi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan.
Ketika majlis berlangsung, keluarga pihak lelaki terkejut apabila dimaklumkan bahawa Nurdiana bukan gadis seperti yang didakwa, sebaliknya merupakan seorang janda dua kali.
Situasi itu menyebabkan majlis bertukar kecoh dan Rodi segera meninggalkan isterinya sebelum melafazkan cerai pada hari sama.
Menurut Ketua Desa Bakan Lombok Tengah,Jefry, kesilapan pada dokumen rasmi menyumbang kepada kekeliruan. Dalam data rasmi desa, status Nurdiana masih tercatat sebagai anak dara.
"Statusnya di sistem data masih gadis, itulah yang dibawa kepada pihak lelaki di Lombok Timur. Akibatnya, pengantin lelaki menyangka dia belum pernah berkahwin," kata Jefry.
Jefry turut memaklumkan bahawa perkahwinan Nurdiana dengan Rodi merupakan kali ketiga, selepas perkahwinan pertamanya bersama sepupu di Desa Selebung dan kemudian dengan seorang lelaki lain di Lombok Timur.
Rodi dilaporkan merupakan bekas Pekerja Migran Indonesia (PMI) di Jepun dan telah menjalin hubungan jarak jauh (LDR) bersama Nurdiana sejak sekian lama. Malah, dia turut mengirim wang bulanan kepada kekasihnya sepanjang tempoh perhubungan.
Namun, selepas mendirikan rumah tangga, Rodi berasa dikhianati apabila mengetahui status sebenar isterinya, lalu bertindak menceraikannya secara rasmi.
Pihak keluarga pengantin perempuan kemudian menyerahkan wang pampasan sebanyak 42 juta rupiah (RM10,941) kepada keluarga Rodi dalam satu proses persetujuan pada Khamis.
Difahamkan, ketika melamar Nurdiana, Rodi memberikan mas kahwin berupa emas seberat 20 gram dan wang tunai 60 juta rupiah (RM15,600). - Sumber Tribun Sumsel.

EmoticonEmoticon