Rabu, 15 April 2026

441 kandungan palsu berhubung isu krisis tenaga global dilaporkan - Fahmi


Sebanyak 441 kandungan palsu berkaitan isu krisis tenaga global telah dikenal pasti berdasarkan aduan awam sejak 29 Mac hingga hari ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, kesemua kandungan berkenaan telah dikenal pasti untuk diturunkan selepas aduan rasmi diterima daripada orang awam, sebelum permohonan penurunan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kepada platform media sosial terlibat.


"Daripada jumlah kandungan palsu yang telah dikenal pasti itu, sebanyak 54 kertas siasatan telah dibuka, 12 kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut, manakala 42 lagi kertas siasatan masih berjalan," katanya.


Beliau berkata demikian pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Fahmi berkata, satu grafik palsu yang menyalahgunakan format sebuah media tempatan melibatkan pengumuman mengenai mekanisme harga automatik (APM) turut dikesan disebarkan sejak semalam.


Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan harga bagi produk bahan api hanya akan diumumkan setiap Rabu sekitar 6 atau 7 petang melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan.


"Sebarang maklumat yang dibuat atau sebaran yang dikesan sebelum hari dan waktu itu, yang bukan disebarkan melalui laman rasmi Kementerian Kewangan, berkemungkinan bersifat palsu," katanya.


EmoticonEmoticon