Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi detik cemas apabila terjatuh selepas kaki kanannya tiba-tiba hilang kawalan ketika sedang membuat latihan berjalan, Januari lalu.
Menurut bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, insiden tersebut mengakibatkan kecederaan serius termasuk keretakan pada tulang pinggul dan mengalami luka di bahagian kepala sehingga dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN).
"Saya sedang berlatih berjalan, tiba-tiba satu kaki, kaki kanan saya hilang kuasa (kawalan). Bila hilang kuasa, saya jatuh.
"Bila jatuh tu, ada keretakan di tulang pinggul dan sendi. Saya juga luka sikit di kepala, tapi amat sakit," kata beliau menerusi hantaran video di laman sosialnya hari ini.
Sebelum ini, tahap kesihatan bekas pemimpin nombor satu negara itu menjadi perhatian ramai selepas beliau dilaporkan menerima rawatan di IJN selama beberapa bulan sebelum dibenarkan keluar pada Mac lalu.
Mengulas lanjut mengenai keadaan ketika itu, Dr Mahathir menyifatkan kesakitan yang dialami amat sukar digambarkan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera.
"Saya dibawa ke IJN, mereka cuba kurangkan sakit tapi susah. Susah nak kurangkan. Rasa cukup sakit. Perlahan-lahan beberapa hari selepas baru kurang sakit, tapi sakit masih ada lagi," katanya.
Jelasnya lagi, terdapat sendi di antara tulang kaki dengan pinggang, dan di situlah bahagian yang telah patah.
Namun, selepas tiga bulan berlalu, beliau menyatakan keadaannya kini beransur pulih dan sudah mampu untuk berdiri semula.
Bagaimanapun, Dr Mahathir mengakui masih berdepan cabaran untuk mengawal sepenuhnya pergerakan kaki buat masa ini.
"Sekarang setelah tiga bulan berlalu, kaki saya sudah sembuh dan boleh berdiri. Tapi tak boleh nak kawal kaki, macam tak ada kaki," ujarnya.

EmoticonEmoticon