Jumaat, 29 Mei 2026

Pelajar perempuan nekad lapor polis, bawa bapa tiri ke mahkamah, rogol dan amang seksual


Pelajar perempuan nekad membuat laporan polis sekali gus membolehkan bapa tirinya didakwa di Mahkamah Majistret Muar, hari ini atas lima pertuduhan merogol dan amang seksual terhadapnya sejak empat tahun lalu.


Bagaimanapun, bapa tirinya berusia 47 tahun hanya mengaku bersalah bagi pertuduhan amang seksual yang dikemukakan di hadapan Majistret Arthana Sarma Rao manakala bagi kesalahan merogol, lelaki itu mohon dibicarakan.


Mengikut pertama, kedua, ketiga dan kelima, tertuduh yang juga buruh ladang sawit didakwa mengikut Seksyen 14(a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 kerana amang seksual terhadap mangsa berusia 15 tahun.


Seksyen terbabit memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan bagi setiap pertuduhan dikemukakan terhadapnya.


Bagi pertuduhan keempat, bapa kepada seorang anak itu dituduh merogol mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan serta boleh dipenjara sehingga 20 tahun selain sebatan.


Semua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Segamat antara jam 10 malam hingga 12 tengah malam, pada tahun 2022, April 2025 dan terbaru pada Mei lalu.


Berdasarkan laporan dibuat, mangsa nekad membuat laporan selepas tidak tahan dengan tindakan tertuduh yang menjadikannya tempat melampias perbuatan terkutuk.


Mangsa mendakwa, perbuatan itu berlaku sejak beberapa tahun lalu namun terpaksa merahsiakan daripada pengetahuan ibunya selepas tertuduh mengugutnya.


Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan dan menahan tertuduh pada 24 Mei lalu untuk siasatan lanjut.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Mahkamah menetapkan 3 Jun ini untuk fakta dan hukuman serta serahan dokumen bagi kes tertuduh tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen. Tiada tawaran ikat jamin dibenarkan memandangkan tertuduh mengaku bersalah.


EmoticonEmoticon