KUALA LUMPUR - Sindiket pelacuran rentas sempadan yang dipercayai menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi untuk menawarkan perkhidmatan seks di Singapura tumpas selepas 30 individu ditahan dalam operasi bersama polis kedua-dua negara.
Sindiket yang dipercayai aktif sejak 2024 itu menggunakan dua laman sesawang bagi mempromosikan perkhidmatan pelacuran, selain menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi bagi mengelak tindakan pihak berkuasa Singapura.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, kegiatan itu terbongkar menerusi Op Noda-Rentas Sempadan yang dijalankan bersama Pasukan Polis Singapura (SPF), semalam.
Menurutnya, operasi serentak di beberapa kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Johor membawa kepada penahanan sembilan individu yang terdiri daripada seorang warga tempatan dan lapan warga asing, termasuk individu dikehendaki SPF.
Kesemua mereka, iaitu lima lelaki dan empat wanita berusia 29 hingga 56 tahun, dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket sama. Mereka terdiri daripada tujuh warga China dan seorang warga Singapura, selain seorang warga tempatan.
Siasatan awal mendapati sembilan individu itu dikehendaki SPF berkaitan kesalahan mengikut Seksyen 146A(1)(b) Piagam Wanita 1961 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan Singapura. Semakan turut mendapati seorang warga Singapura dan empat warga China yang ditahan dipercayai tinggal lebih masa di Malaysia.
M Kumar berkata, kesemua sembilan individu itu akan diserahkan kepada SPF melalui Bahagian D12 (NCB/Interpol), JSJ Bukit Aman selepas proses pengesahan identiti di hadapan majistret.
Dalam operasi sama, polis turut menahan 21 warga asing yang disyaki terbabit dalam kegiatan mempromosi dan menguruskan perkhidmatan pelacuran secara dalam talian.
Mereka terdiri daripada lima lelaki dan 16 wanita berusia 19 hingga 41 tahun, membabitkan 17 warga China, tiga warga Vietnam dan seorang warga Laos. Polis turut merampas beberapa peralatan elektronik yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.
Kesemua 21 individu itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut M Kumar, kejayaan operasi itu membuktikan keberkesanan kerjasama strategik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPF dalam perkongsian maklumat risikan bagi membanteras jenayah rentas sempadan.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membanteras kegiatan pelacuran dan jenayah berkaitan.

EmoticonEmoticon