MIRI - Dua pelanggan sebuah pusat hiburan di Pekan Sepupok, Subis, ditahan selepas didapati positif dadah dalam ujian saringan awal air kencing menerusi operasi yang dijalankan polis, baru-baru ini.
Operasi serbuan dan pemeriksaan itu dilaksanakan oleh sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di premis hiburan.
Dalam operasi berkenaan, seramai 10 individu terdiri daripada lelaki dan wanita diperiksa. Hasil saringan awal mendapati dua pelanggan positif dadah sebelum mereka ditahan untuk membantu siasatan.
Kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana disyaki menggunakan dadah.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama serta maklumat yang disalurkan sehingga membantu menjayakan operasi tersebut.
PDRM turut menegaskan komitmen untuk mempergiat pemantauan dan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa, khususnya di pusat hiburan yang berpotensi menjadi lokasi penyalahgunaan dadah.
Usaha berterusan itu bertujuan membanteras kegiatan dadah serta memastikan keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.


EmoticonEmoticon