Sabtu, 21 Mac 2026

Operator kilang cedera ditembak pemandu lori selepas bertengkar di Kulim


Seorang operator kilang cedera di lengan dan dada kanan akibat terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Permatang Durian, Seberang Paya, Padang Serai, malam tadi.


Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, mangsa berusia 24 tahun itu dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya ketika kejadian.


Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 11.50 malam selepas suspek berusia 42 tahun itu menghubungi mangsa dan memintanya datang ke rumahnya di Kampung Naga Lilit.


"Bagaimanapun, suspek menahan mangsa di lokasi kejadian sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara mereka.


"Susulan itu, suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke arah mangsa dan mengenainya," katanya ketika dihubungi hari ini,


Tengku Mohd Faisal berkata, akibat tembakan itu, peluru menembusi lengan kanan dan bahagian dada kanan mangsa.


Beliau berkata, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim oleh untuk mendapatkan rawatan lanjut.


"Susulan daripada itu, polis berjaya menahan suspek di hadapan rumahnya di kawasan Kampung Naga Lilit untuk membantu siasatan.


"Polis turut merampas pistol jenis revolver bersama 10 butir peluru hidup serta dua kelongsong peluru dan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.


"Punca kejadian masih dalam siasatan pihak polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.


Tengku Mohd Faisal berkata, hasil semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan suspek yang bekerja sebagai pemandu lori itu mempunyai 3 kes jenayah dadah dan 11 kes jenayah.


"Manakala mangsa pula mempunyai rekod lampau, dengan mangsa mempunyai enam kes kesalahan jenayah narkotik dan kes jenayah.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon