Gara-gara kehabisan wang ketika bercuti di Indonesia, seorang lelaki warga Malaysia nekad merompak seorang wanita sebelum melarikan keretanya di Batam, Jumaat lalu.
Lebih mengejutkan, suspek berusia 41 tahun itu turut mencederakan seorang anggota polis dengan merempuhnya ketika cuba meloloskan diri daripada dikejar pihak berkuasa.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, suspek yang berasal dari Melaka itu dipercayai mengugut mangsa berusia 48 tahun menggunakan pistol jenis airsoft dan sebilah pisau sebelum melarikan Toyota Rush bersama barangan berharga bernilai kira-kira 292 juta rupiah (RM73,000).
Menurutnya, suspek tiba di Indonesia pada 15 September lalu untuk bercuti, namun tinggal lebih masa selama 10 hari selepas gagal mendapatkan wang mencukupi untuk pulang ke Malaysia.
Suspek kemudian dipercayai merancang melakukan rompakan dengan menyasarkan mangsa secara rawak bagi mendapatkan wang perjalanan pulang.
Kejadian bermula apabila mangsa selesai membayar cukai kenderaan di kaunter Samsat, Harbour Bay, sebelum mengeluarkan wang tunai di sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
Ketika kembali ke keretanya, suspek didakwa masuk ke tempat duduk penumpang dan memaksa mangsa memandu ke arah Bukit Senyum.
Sebaik tiba di kawasan luar sebuah taman perumahan, suspek mengeluarkan pistol airsoft dan pisau sebelum mengugut mangsa supaya memindahkan wang secara dalam talian ke akaun bank miliknya.
Bagaimanapun, mangsa menjerit meminta pertolongan sehingga menyebabkan suspek panik sebelum menolaknya keluar dari kenderaan dan melarikan diri.
Seorang anggota polis trafik yang terdengar jeritan mangsa kemudian mengejar kenderaan itu dan berjaya memintasnya.
Suspek bagaimanapun bertindak mengacukan pistol airsoft ke arah anggota berkenaan sebelum merempuhnya sehingga menyebabkan kecederaan.
Siasatan mendapati pistol airsoft itu dibeli daripada seorang pengawal keselamatan sebuah pangsapuri pada harga satu juta rupiah. Pengawal keselamatan terbabit turut ditahan untuk disoal siasat.
Polis merampas Toyota Rush yang dicuri, wang tunai satu juta rupiah, sebuah beg, pistol airsoft bersama lima kartrij karbon dioksida (CO2) serta sebilah pisau.
Suspek kini berdepan pertuduhan mengikut Artikel 365 Kanun Keseksaan Indonesia bagi kesalahan mencuri dengan kekerasan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sembilan tahun.

EmoticonEmoticon