Tindakan seorang penganggur membuat cubaan bunuh dengan mengugut seorang inspektor dengan mengeluarkan kata-kata, 'Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku' membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini.
Tertuduh, Muhammad Fairus Abdullah, 31, mengaku bersalah atas dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didapati cuba membunuh seorang inspektor berusia 40 tahun dengan menghayunkan sebilah kerambit ke arah mangsa dengan niat yang boleh menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan sekitar jam 1 pagi, Sabtu lalu di Batu 6, Lereh, Tanjung Kling. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit di tempat awam tanpa alasan yang sah.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan.
Mengikut fakta kes, tertuduh melarikan diri sejauh kira-kira 300 meter selepas Inspektor itu memperkenalkan diri sebagai polis.
Ketika kejadian, tertuduh dilihat memegang sebilah kerambit dan sebatang pemutar skru. Pengadu meminta tertuduh menyerah diri, namun dia enggan sambil menjerit, 'Aku akan bunuh polis yang cuba tahan atau tangkap aku'.
Pengadu kemudian mengarahkan anggota melepaskan tembakan senjata renjat ke arah tertuduh dan terkena bahagian dada namun tertuduh tetap cuba melarikan diri sebelum berjaya dikepung di lokasi kejadian.
Tertuduh kemudian menghayunkan kerambit ke arah pengadu dan hanya melepaskan senjata itu selepas satu das tembakan amaran dilepaskan ke udara oleh anggota polis.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rif’ah ‘Izatti Abdul Mutalif, memohon hukuman setimpal, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman berjalan serentak dari tarikh tangkapan pada Sabtu.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun bagi pertuduhan cubaan membunuh dan lima tahun serta satu sebatan bagi pertuduhan memiliki kerambit. Kedua-dua hukuman itu diperintahkan berjalan serentak dari tarikh tangkapan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengugut polis, Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan anggota polis menggunakan parang dan Seksyen 184 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Tertuduh mengaku bersalah atas semua pertuduhan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan.

EmoticonEmoticon