Cubaan menyeludup keluar kira-kira 2,000 liter petrol ke negara jiran berjaya dipatahkan polis dalam tempoh hanya sejam menerusi satu operasi khas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam semalam.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, operasi yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu bermula kira-kira jam 7 pagi itu berjaya menahan lima buah kenderaan pacuan empat roda jenis pikap bersama lima individu.
Menurutnya, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki warga Thailand dan seorang lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun.
"Hasil pemeriksaan mendapati semua kenderaan tersebut telah diubah suai daripada spesifikasi asal dengan pemasangan tangki besi tambahan bagi menyimpan petrol.
"Setiap kenderaan dipercayai membawa kira-kira 400 liter petrol dan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran secara tidak sah," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu hari ini.
Beliau berkata, penggunaan kenderaan diesel untuk membawa petrol dalam tangki tambahan yang disorokkan jelas menunjukkan niat untuk menjalankan aktiviti penyeludupan, sekali gus melanggar undang-undang sedia ada.
Tambahnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk lima kenderaan tersebut dianggarkan berjumlah RM560,000.
"Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," ujarnya.


EmoticonEmoticon