Sabtu, 11 April 2026

Enam lelaki warga Pakistan bergaduh di Kampung Kubambang, Beluran ditahan polis


Enam lelaki warga Pakistan ditahan selepas disyaki terlibat dalam pergaduhan yang tular di media sosial di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Kubambang, Paitan, Beluran pada Jumaat.


Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 6.49 petang.


"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 4 petang hari yang sama apabila sekumpulan lelaki telah berjumpa dengan mangsa yang juga warga Pakistan di kawasan kaki lima sebuah kedai runcit.


"Berlaku pertengkaran antara mereka disebabkan salah faham sebelum bertukar menjadi pergaduhan sehingga mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala serta menerima tujuh jahitan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurutnya, susulan kejadian itu serta rakaman video yang tular, polis berjaya menahan enam individu yang dikenal pasti terlibat dalam rusuhan berkenaan.


"Permohonan reman akan dibuat esok untuk meneruskan siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.


"Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya.


Sebelum itu, tular satu video berdurasi 29 saat memaparkan sekumpulan individu terlibat dalam pergaduhan, termasuk menggunakan objek kayu untuk memukul mangsa.

This Is The Newest Post


EmoticonEmoticon